Pengarah Michael Ang menafikan dakwaan wujudnya babak bercium antara pelakon utama drama Coffee Prince versi Malaysia, Fattah Amin dan Janna Nick.

Menurut Michael, dia memahami sensitiviti masyarakat dan tidak akan sesekali memuatkan adegan sebegitu dalam karyanya.

“Takkanlah saya sebodoh itu untuk menghasilkan babak bercium. Ini Malaysia. Semestinya saya peka dalam soal sensitiviti di negara kita. Tiada istilah bercium atau menggunakan 'camera trick' pun.

"Sebaliknya, saya hanya meminta Fattah meletakkan pipinya di sebelah kanan muka Janna. Tetapi, kedua-duanya tidak bersentuhan langsung. Itu saja yang saya arahkan kepada pelakon. Memang tak ada babak bercium.

"Kalau tengok Insta Story seorang lagi pelakon, Emma Maembong, memang tak ada pun babak cium seperti yang dianggap netizen itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Michael juga akui terkejut sebaik sahaja mengetahui video tersebut telah dimuat naik oleh seorang pelakon baharu iaitu Fara Mendoza di laman Instagram.

Kata Michael, Fara bukanlah pelakon Coffee Prince tetapi hadir ke lokasi untuk melawat Janna Nick.

"Babak tersebut dirakam oleh Fara dan bukannya kru produksi yang sebarkan.

"Fara tidak berlakon dalam drama ini, dia hanya datang melawat Janna di set penggambaran.

"Kalau saya tahu dia nak rakam, pasti saya dah halang," katanya.

Selain Fattah dan Janna, Coffee Prince turut menampilkan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Fahrin Ahmad, Sharifah Sakinah dan Sharifah Shahira.

Coffee Prince arahan Michael Ang dijangka ditayangkan di Astro Ria pada November depan.

Versi asal Coffee Prince dilakonkan oleh Gong Yoo, Yoon Eun-hye, Lee Sun-kyun dan Chae Jung-an.

Terdahulu, Fattah dan Janna dikritik hebat gara-gara pelakon baharu iaitu Fara Mendoza telah memuat naik video pasangan berkenaan melakonkan aksi bercium di Instastory miliknya baru-baru ini.

Foto: IG Story @Fara_Mendoza / IG @michaelang38

Sumber: BH Online / mStar Online