Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida beritahu dia bakal menjadikan 18 orang anak Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran baru-baru ini sebagai anak angkatnya.
Menurut laporan Harian Metro, Vida turut mahu membawa anak-anak tahfiz itu pergi bercuti bagi menghilangkan tekananan dan trauma yang mereka alami.

“Saya akan jadikan anak-anak tahfiz yang terselamat dalam tragedi ini sebagai anak angkat saya dan bawa mereka pergi bercuti untuk hilangkan tekanan dan trauma yang dialami mereka.

"Saya mahu hilangkan trauma dan tekanan yang dialami semua 18 anak-anak tahfiz ini dengan membawa mereka ke rumah saya dan menjadikan mereka sebagai anak angkat saya.

"Keduanya, saya akan membawa mereka bercuti dan mengadakan beberapa aktiviti yang boleh melupakan tekanan mereka seperti mana saya pernah lalui dahulu," katanya yang membuat lawatan ke pusat tahfiz itu semalam.

Katanya, dia akan berbincang dengan pihak tahfiz dan mengaturkan masa untuk mengambil pelajar yang terselamat dalam kejadian kebakaran pusat tahfiz itu untuk ke rumahnya sebelum membawa mereka keluar bercuti.

Bagaimanapun, dia masih belum memutuskan lokasi percutian yang akan dibawa namun satu cadangan yang beliau ingin lakukan adalah membawa pelajar tahfiz itu menjalankan ibadah umrah dalam masa terdekat.

Penyanyi lagu I Am Me itu berkata, usaha itu sebagai satu daripada saham akhirat yang ingin beliau lakukan sempena tahun baru Maal Hijrah.

Pada 14 September lalu, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar sehingga mengorbankan 21 pelajar dan dua warden dalam kejadian yang berlaku 5.15 pagi.

Sumber: Harian Metro