Muzik Video single terbaharu nyanyian Datin Alyah dan Farawahida telah dilancarkan semalam namun ada yang beranggapan bahawa paparan visual dalam lagu itu mempromosikan kisah kecurangan pasangan dan mesej negatif.

Malah, ada komen-komen nakal yang menyindir muzik video itu barangkali bercerita tentang kisah hidup Alyah.

Tampil memberikan jawapan kepada persoalan itu, jawab Alyah jalan cerita muzik video Mengapa Harus Aku tiada kena mengena dengan dirinya atau sesiapa sebaliknya ia satu interpretasi daripada pemerhatian sekeliling.

"Sebelum ini pun ada muzik video yang nampak negatif tetapi peminat menerimanya dengan cara positif.

"Ia tentang keadaan dua wanita yang tidak ada jalan keluar dan menyayangi kedua-dua lelaki, begitu juga lelaki yang menyayangi kedua-dua wanita.

"Penghujung lagu ini tentang keredaaan dan penerimaan.

"Bukan bermakna saya menyokong poligami, tetapi jodoh dan maut itu hak Allah. Saya menulis lagu ini daripada pengalaman dan melihat kesakitan orang.

"Sebab saya pun wanita dan saya boleh selami keperitan yang dirasai.

"Ceritanya hampir sama dengan lagu Sesal Separuh Nyawa cuma ia diolah dalam posisi lain," katanya yang ditemui pada majlis pelancara single Mengapa Harus Aku di Mydin Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Alyah juga bersedia sekiranya muzik video Mengapa Harus Aku dikecam netizen.

"Saya pernah berdepan kritikan lebih teruk sebelum ini dan saya okey.

"Kalau orang terus bercakap tentang saya itu maknanya saya masih wujud dalam industri seni.

"Apa yang penting, niat utama saya untuk mencari rezeki dalam bidang ini," tambah Alyah.

Dalam perkembangan lain, Alyah bakal muncul dengan single terbaharu Jutaan Purnama ciptaan Hael Husaini untuk runut bunyi drama bersiri Red Velvet.


Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @alyah81