Abang Long Fadil 2, Bisik Pada Langit Antara 53 filem Bertanding Di FFM29

Hiburan
Abang Long Fadil 2, Bisik Pada Langit Antara 53 filem Bertanding Di FFM29
Abang Long Fadil 2 dan Bisik Pada Langit antara filem baharu yang bakal dipertandingkan di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29).

Dua filem tersebut termasuk dalam 53 jumlah filem yang akan dipertandingkan di festival itu pada 23 September ini.

Ia terdiri daripada 41 filem berbahasa Malaysia, enam (Mandarin), lima (Tamil) dan satu (Inggeris).

Selain itu, FFM29 turut mempertaruhkan 24 kategori yang terdiri daripada 18 kategori bertanding, manakala enam daripadanya anugerah yang tidak dipertandingkan dengan lima finalis sebaliknya dipilih khas oleh juri.

Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29,  Datuk Fauzi Ayob berkata, hanya satu kategori iaitu Filem Terbaik sahaja yang digunakan untuk mengangkat naskhah terbaik sebagai pemenang tanpa pembahagian kategori bahasa sebagaimana tahun lalu.

“Kami mengambil keputusan memansuhkan kategori itu bagi mengelakkan kontroversi dan semua bertanding diadili menerusi satu kategori sahaja,” katanya dalam sidang media FFM29 baru-baru ini.

Menurut Fauzi lagi, pengasingan kategori-kategori teknikal yang sebelum ini berlangsung pada malam perasmian juga akan disatukan pada malam kemuncak.

“Pada edisi yang lalu, FFM diadakan dua malam dengan mengasingkan Anugerah Utama dan kategori teknikal, namun kali ini semua 24 anugerah akan disampaikan pada satu malam sahaja iaitu di malam kemuncak.

“Mekanisma ini digunakan untuk menghargai usaha semua di depan mahupun belakang tabir yang bekerja untuk mendapatkan kualiti kerja terbaik.

“Tumpuan pengiktirafan kali ini diberikan lebih kepada filem cereka sahaja di mana pengiktirafan untuk karya animasi dan filem pendek akan dipertandingkan dalam platform lain yang lebih bersesuaian,” katanya lagi.

FFM29 juga akan menyaksikan Zizan Razak sebagai hos utama dan digandingkan dengan tiga lagi artis wanita iaitu Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Thanuja menerusi beberapa segmen.

Bertemakan 'Transformasi Citra Karya', FFM29 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD  (123) pada pukul 9 malam.

Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut bekerjasama sebagai rakan promosi untuk  memeriahkan promosi berkaitan FFM29.

Artikel Berkaitan