Pelawak Sharif dari kumpulan Zero menyifatkan adiknya, Atu sebagai pesaing utama dalam pertandingan Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

Dalam SSS2017, Sharif mewakili kumpulan Tenggiling Taiko manakala adiknya pula mewakili kumpulan King Musang.

"Biarpun ramai pelawak lain yang sememangnya mempunyai nama besar dan pengalaman yang luas, saya tetap menyifatkan adik saya sendiri sebagai pesaing terbesar dalam SSS2017.

"Dia mempunyai idea di luar kotak dan bermain dengan baik. Saya banyak belajar apabila melihat permainan yang cuba ditonjolkan oleh Atu dan pelawak lain," kata Sharif kepada Astro Gempak.

Merupakan penyertaan sulung dalam siri Super Spontan, Sharif banyak melihat video-video lama di laman YouTube sebagai rujukan.

"Ini merupakan penyertaan pertama saya dan Atu dalam Super Spontan. Kami rasa sangat terharu dan teruja apabila diberikan peluang untuk bermain dalam SSS2017 bersama pelawak-pelawak terkemuka lain.

"Sebagai persediaan, saya sendiri melihat video-video lama cara peserta bermain dalam siri Super Spontan musim sebelum ini. Dengan cara tersebut, saya mendapat bayangan bagaimana mahu bermain dengan baik dalam SSS2017," katanya lagi.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal