Selepas 100 hari pemergian Julia Perez, keluarga selebriti itu telah menjemput 150 orang anak-anak yatim untuk majlis tahlil di kediaman keluarga mereka di Jakarta, Indonesia.

Suasana sedih masih menyelubungi majlis yang dihadiri oleh ibu penyanyi itu, Sri Wulansih dan kedua-dua adiknya, Nia Anggia dan Della.

"Lebih banyak doa dan lebih ramai jemputan untuk majlis ini.

"Saya sempat bermimpi bertemu kakak saya, dia memimpin tangan saya.

"Dalam mimpi itu saya menangis-nangis sambil memeluk dia. Saya sangat merindukan kakak," kata Nia kepada media Indonesia.

Pada majlis itu, keluarga Jupe memilih pakaian dan hiasan hijau sempena warna kegemaran Jupe.

"Arwah Jupe sangat suka warna hijau, akhirnya pada 100 hari kematian Jupe kami sekeluarga memakai baju warna kegemarannya," tambah Nia.

Sementara itu, tambah ibu Jupe, Sri Wulansih, hampir setiap hari dia akan menjenguk kubur arwah sejak ketiadaannya.

"Hampir setiap hari mahu ke kubur. Cuma melihat dan menguruskan kawasan itu kemudian mengutuskan doa," katanya.

Jupe atau nama sebenarnya Yuli Rachmawati telah meninggal dunia pada 10 Jun 2017 di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta, Indonesia kerana menghidap kanser servik.

Sepanjang hayatnya, Jupe telah menghasilkan empat buah album iaitu Kamasutra, Aku Rapopo, Dangdut Galau dan The Best Of Julia Perez sejak menjadi penyanyi pada 2002.









Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Kapan Lagi
Foto: Kapan Lagi