Penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh, akui dirinya bukan seorang vokalis yang bagus.

Menurut Noh, meskipun dia dikenali sebagai penyanyi kumpulan Hujan namun dirinya masih mempunyai banyak kelemahan dalam bidang nyanyian.

"Saya hanya seorang pemuzik dan sejujurnya saya bukan seorang vokalis yang baik.

"Masih ada ramai lagi penyanyi mempunyai vokal yang lebih baik jika mahu dibandingkan dengan saya.

"Sejujurnya saya amat mengagumi bakat nyanyian yang ada pada Aizat Amdan dan Hazama kerana bagi saya, mereka sangat berbakat serta jujur dalam nyanyian.

"Bukan ingin merendah diri, namun bakat yang ada pada mereka ini amat luar biasa dan saya masih cuba untuk memperbaiki diri supaya menjadi hebat seperti mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Noh berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Jelajah Album Angin Kencang, di Warner Music, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bercerita mengenai Jelajah Album Angin Kencang, Noh akan mengadakan persembahan jelajah pada Ahad, 17 September (hari ini) di Gerbang Malam, Ipoh, Perak.