Sejak ditayangkan pada 24 Ogos lalu, filem Abang Long Fadil 2 (ALF 2) kini telah mencatatkan kutipan lebih RM16 juta.

Jumlah tersebut sekaligus berjaya mengatasi kutipan filem prekuelnya iaitu Abang Long Fadil jika dibandingkan mengikut hari tayangan.

Ini membuktikan ALF 2 telah mengembalikan kepercayaan penonton terhadap filem tempatan.

Jika sebelum ini filem ini hanya ditayangkan di 130 buah pawagam saja, kini jumlah tersebut meningkat kepada 135 buah pawagam.

Sementara itu, pengarah ALF2, Syafiq Yusof turut menyatakan rasa syukur terhadap sambutan yang diberikan.

"Alhamdulillah, #AbangLongFadil2 telah capai kutipan RM 16 Juta! Terima Kasih Malaysia! #ALF2 Kini masih dipawagam! Jom #repeat," tulisnya menerusi status terbaru di Twitter semalam.

Dalam pada itu, para peminat juga tidak ketinggalan memberikan ucapan tahniah kepada filem ALF2 terbitan Astro Shaw dan Skop Productions ini.

"Selalu mana-mana sequel kedua kurang kick tapi yang ini memang mantap! Harap ada ABLF3 atau ABLF vs Transformers hahahaha," - @abuzikr

"Sedap weh haha, first time tengok filem melayu gempak! #AbangLongFadil2," - @tuanzluqman

"Tahniah tuan direktor & semua team #alf2 #AbangLongFadil2," - @helmi_zh7

Abang Long Fadil 2 mengisahkan tentang perjalanan hidup Fadil, yang terjerumus ke dalam dunia mafia, didalangi oleh Taji Samprit dan anaknya Wak Doyok.

Fadil terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang pembunuh upahan walaupun dia bukanlah seorang pembunuh. Sasaran pertama Fadil ialah King Kong, seorang yang gila kuasa dan musuh kepada Taji Samprit. Berjayakah Fadil menempuh dugaan yang berlaku pada dirinya?

Filem sarat aksi dan komedi itu dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, Achey, Shuib, Tania Hudson dan A Galak.

Tunggu apa lagi? Kalau nak tengok ‘punchline’ bertubi-tubi, pergilah ke pawagam berhampiran anda sekarang!!!