Polis menahan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat, di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pelajar itu dibawa ke lokasi kebakaran petang tadi sebahagian daripada siasatan.

"Ya, memang ada tangkapan dibuat tetapi ia merupakan sebahagian daripada siasatan, tetapi buat masa ini masih terlalu awal untuk kami menentukan punca kebakaran kerana masih lagi menunggu laporan pakar forensik," katanya.

Sebelum ini, berita mengenai seorang pelajar tahfiz menyelinap keluar dari asrama beberapa jam sebelum kejadian kebakaran ditahan polis untuk siasatan telah tular.

Sementara itu, seorang kakitangan pusat tahfiz yang enggan dikenali berkata remaja yang dibawa melawat ke lokasi kejadian bukanlah pelajar sekolah berkenaan tetapi disyaki terlibat dalam kes kecurian di bangunan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Menurutnya, bangunan PPIM itu terletak bersebelahan pusat tahfiz yang kini dalam proses baik pulih yang memungkinkan kes kecurian berlaku.

PPIM sebelum ini mendakwa rakaman kamera litar tertutupnya mengesan kelibat lelaki yang menceroboh pejabatnya kira-kira jam 3.15 pagi.

Sumber: Astro Awani