Usahawan kosmetik, Joy Refva atau nama sebenarnya, Siti Arifah Amin, berharap penyanyi Hafiz Hamidun berhenti memanipulasikan namanya dan masyarakat terhadap kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut Joy, tuntutan yang dilakukan di Mahkamah adalah jelas dan dia berharap agar pihak Hafiz tidak beremosi dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya harap Hafiz tak perlu manipulasi masyarakat dan saya dah puas dimanipulasi oleh dia di media terus menerus, untuk kata saya tidak serius.

"Fokus pada kes? Tuntutan saya jelas... pernikahan ini sah atau tidak, biarlah mahkamah yang menentukannya.

"Ini adalah cara yang terbaik untuk selesaikan. Bukan dengan cara licik yang lain. Dari awal, dia yang tergesa-gesa ingin bernikah dengan saya sebab ada sesuatu yang mungkin dia harapkan namun tak tercapai," kata Joy.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis menangguhkan permohonan faraq nikah difailkan Joy terhadap Hafiz pada 18 Ogos lalu.

Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria, menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Hafiz dan Joy diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.

Joy pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.

Sumber: mStar Online