Selaku band yang sudah 11 tahun berada dalam industri hiburan tempatan, Bunkface punyai pendapat sendiri mengenai citarasa dan perkembangan muzik terkini.

Kata mereka, walaupun sesebuah lagu itu popular dan menjadi siulan ramai, muzik yang dipersembahkan oleh kebanyakan kumpulan dan band sekarang bersifat mundur.

"Muzik mereka (band) bawa sekarang muzik mundur dan tak berkembang. Kita sudah dengar muzik yang sama suatu ketika dahulu.

"Mungkin salahnya pada pihak yang menentukan hala tuju muzik mereka yang mempunyai citarasa yang sama seperti beberapa puluh tahun yang lalu.

"Walaupun bunyi itu seperti lagu-lagu yang pernah kita dengar dahulu, mereka bernasib baik kerana diberikan pelbagai platform dan ruang promosi hingga lagu-lagu itu popular," kata Bunkface ketika ditemui di studio BF Rockstation di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, Bunkface muncul menerusi single yang digubah semula daripada album Malam Ini Kita Punya dua tahun lalu, Kembalii.

Single itu diolah semula lebih 50 peratus daripada lagu asal dan diberi nafas baharu selaras dengan kehendak semasa.

"Kami tidak mahu memaksa diri untuk menghasilkan sesebuah lagu yang tidak kena dengan jiwa kami.

"Biarlah lagu itu menjadi perintis kepada perkembangan muzik itu sendiri," tambah mereka.

Muzik video Kembalii menjalani penggambaran di Gunung Bromo, Indonesia dan akan mula dilancarkan di platform Youtube hari ini.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @bunkfaceband