Selepas kejayaan filem Ola Bola tahun lalu, naskhah sama bakal dipentaskan dalam rendisi teater muzikal pula pada Februari tahun depan.

Tanggungjawab untuk mementaskan Ola Bola The Musical digalas oleh Puan Sri Tiara Jacquelina yang membikin fenomena Puteri Gunung Ledang The Musical, P. Ramlee The Musical dan Secret Life Of Nora.

Manakala, tugas koreografi naskhah itu diberikan kepada bintang teater terkenal dari West End, Stephen Rahman Hughes.

Kata Stephen, kebanyakan pergerakan yang akan diterapkan dalam Ola Bola The Musical menggunakan teknik tarian kontemporari dan berasaskan hip hop.

"Lebih banyak bahasa pergerakan badan digunakan untuk bercerita dan Ola Bola The Musical akan mementingkan visual di pentas.

"Selain pergerakan asas yang sering kita lihat di padang bola sepak, kebanyakan gerakan berasaskan tarian hip hop dan kontemporari.

"Penonton pun meletakkan harapan untuk tidak hanya melihat pergerakan menimang bola semata-mata sebaliknya lebih daripada itu.

"Jadi, besar tanggungjawab saya untuk mengolah setiap pergerakan untuk ditafsirkan dan signifikan dengan konsep pementasan ini," katanya yang ditemui pada bengkel gerak tari Ola Bola The Musical di Enfinity Academy, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bengkel selama seminggu itu bakal diserahkan kepada koreografer tempatan sebelum Stephen kembali pada November nanti untuk koreografi penuh.

"Saya bernasib baik kerana mendapat sekumpulan ensemble yang sangat berbakat dan mempunyai skil permainan bola sepak," tambahnya.

Stephen sebelum ini pernah menjadi koreografer untuk pementasan Teater Muzikal Cuci pada tahun 2009.

Malah, kredibiliti Stephen di pentas teater tidak diragui apabila pernah mendukung peranan Hang Tuah sepanjang tiga musim pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical.

Jejaka kacukan Melayu-Welsh itu juga masih aktif dalam pementasan teater di West End, London.

Terdahulu, filem Ola Bola ditayangkan pada 28 Januari tahun lalu di 120 pawagam di seluruh negara berjaya mencapai kutipan mencecah RM12 juta.

Ola Bola The Musical akan dipentaskan di Istana Budaya pada Februari 2018 untuk maklumat lanjut layari www.olabolamusical.com .

Teks oleh: Amri Hassan