Aktres terkenal Bollywood, Kareena Kapoor mengakui bahawa dia akan membiasakan diri anaknya, Taimur Ali Khan untuk berinteraksi dengan orang ramai terutamanya pihak media.

Menerusi laporan Pinkvilla.com, Kareena berkata, perkara itu dilakukan agar anaknya tidak berasa takut dan kekok ketika berada di khalayak umum.

"Taimur juga merupakan sebahagian daripada kami dan dia akan menjadi perhatian umum serta wartawan.

"Jadi kami harus membiasakan dirinya supaya yakin dan tidak takut ketika berjumpa orang ramai yang ingin bergambar dengan dia.

"Sejak dilahirkan lagi saya dan suami, Saif sudah bersepakat untuk berkongsi gambar Taimur kerana bagi kami tidak ada apa yang perlu disembunyikan daripada umum.

"Nampaknya Taimur kini semakin berani dan dia sudah membiasakan diri dengan paparazzi yang ingin mengambil gambarnya ketika berada di perkarangan rumah," katanya.

Taimur yang kini sudah berusia 8 bulan adalah anak pertama hasil perkahwinan Kareena dan Saif yang mendirikan rumah tangga pada 16 Oktober 2012.

Bagi Saif pula, Taimur merupakan anak ketiganya. Sebelum ini, menerusi perkahwinan dengan pelakon Amrita Singh, Saif dikurniakan dua orang anak, Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan.

Sumber: Pinkvilla.com