Selebriti fesyen, Wak Doyok akui sepatutnya dia sudah melangsungkan perkahwinan dengan seseorang yang tidak mahu didedahkannya pada April 2017.

Bagaimanapun Wak Doyok, 38, berkata perkahwinan itu terpaksa dibatalkan kerana hubungan mereka putus di tengah jalan sebelum disatukan.

"Saya sebenarnya sudah membuat hampir separuh persiapan perkahwinan untuk berkahwin pada April lalu.

"Namun perkahwinan itu tidak dapat diteruskan kerana hubungan kami putus di tengah jalan.

"Saya akui agak kecewa dengan apa yang berlaku tetapi terpaksa menerima dugaan ini," katanya kepada Astro Gempak.

Wak Doyok ditemui ketika sesi fotografi bersama barisan pelakon pencalonan awal Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM 29) di Hotel Park Royal, sebentar tadi.

Pelakon Abang Long Fadil 2 (ALF 2) itu bagaimanapun akui dia tidak pernah serik untuk berkahwin, malah mahu segera menamatkan zaman bujangnya sebelum usia 40 tahun.

"Saya mahu berkahwin dan kalau boleh dalam masa terdekat jika dipertemukan jodoh.

"Bagaimanapun sehingga kini saya masih belum mempunyai teman.

"Saya bukan seorang yang cerewet memilih teman hidup, cukuplah sekadar wanita itu memahami diri saya dan tahu memasak kerana saya tak suka makan di luar," katanya lagi.

Wak Doyok tercalon dalam pencalonan awal FFM29 menerusi filem ALF 2.

Teks oleh: Syafiqah Jalal