Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mengaku tidak bersalah mengakibatkan kemalangan langgar lari empat atlet berbasikal Sukan PARA ASEAN pada pagi Khamis.

Tertuduh Anuar Wahab, 46 tahun yang merupakan peniaga makanan membuat pengakuan tidak bersalah itu di Mahkamah Majistret, hari ini selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 12.5 Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (LATAR) kira-kira jam 10.45 pagi semalam mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan menetapkan 16 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kemalangan kira-kira 10.45 pagi itu, lima orang termasuk dua atlet berbasikal para negara cedera dirempuh kenderaan ketika menjalani latihan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah V.M. Abdul Latif manakala tertuduh diwakili peguam, M Saravanan.

Dua daripada mereka terbabit ialah Khairul Nizam Mohd Ali, 19 tahun dan Mohd Khairul Hazwan Wahab, 25 tahun yang juga merupakan prospek emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang dijadual pada 17 hingga 23 Sept ini.

Tiga lagi mangsa ialah jurulatih mereka, Johari Nayan, 42 tahun, serta jurumudi Nor Rizuan Zainal, 31 tahun dan Syariq Suhaimy, 25 tahun.

Lewat petang semalam, pihak LATAR telah mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang sama sekali, sejajar dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Sumber: Astro Awani