Saluran Tara HD Beri Kepuasan Maksimum Kepada Peminat Bollywood

20 Oktober 2016. 10.58 PM
12,500
Hiburan
Saluran Tara HD Beri Kepuasan Maksimum Kepada Peminat Bollywood

Berita baik kepada semua peminat Bollywood kerana saluran baru Tara HD (saluran 108) bakal memberikan anda kepuasan menonton variasi program hindi dalam bentuk definisi tinggi (HD).

TARA HD adalah saluran gantian kepada Vee Variasi dan para penggemar hiburan Bollywood pasti akan teruja untuk menyaksikan pelbagai rancangan yang disajikan menerusi saluran ini.

Program menarik yang bakal mewarnai dunia Bollywood anda termasuklah hiburan terkini dari dunia Bollywood seperti filem-filem klasik, rancangan siri televisyen, program realiti, rancangan bual bicara dan drama televisyen menerusi dua saluran jenama Hindi terkini, iaitu TARA HD dan BollyOne HD (Saluran 251).

Lebih menarik lagi semua pelanggan yang memiliki dekoder Astro B.yond akan menikmati akses pra-tonton percuma ke saluran ini sehingga 20 November 2016.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Pelanggan India, Dr. Rajamani Chellamuthu berkata, Astro sentiasa mahu memberikan kandungan hiburan berbahasa India terbaik kepada para pelanggan.

“Pada tahun 2014, kami telah melancarkan BollyOne HD, iaitu sebuah saluran hiburan berbahasa India tanpa henti di mana kami memaparkan filem-filem Hindi terkini, dan ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelanggan.

“Kini dengan adanya TARA HD, kami akan bawakan lebih banyak hiburan Hindi hebat kepada penonton termasuklah pelbagai jenis drama, filem, konsert, program anugerah berprestij, program realiti, dokumentari dan program bual bicara,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran TARA HD pada malam Rabu.

Tambahnya TARA HD hanya menawarkan hiburan Bollywood terbaik kepada pelanggan dan sesuai ditonton oleh setiap peringkat usia.

“Kami juga turut telah memilih pelbagai jenis filem dan drama dari beberapa saluran terkenal seperti Colors, Star Gold dan Star Plus untuk disiarkan bagi memastikan setiap pelanggan kami menerima hanya kandungan hiburan yang terbaik serta hebat dari kami”, ujarnya.

Selepas pra-tonton percuma tamat, TARA HD boleh dinikmati oleh pelanggan Astro menerusi pakej Astro Family HD dan boleh turut disaksikan menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG), selain turut terkandung di dalam pakej pra-bayar bagi pelanggan NJOI.

Untuk melanggan sebarang pakej di Astro dan NJOI, sila layari www.astro.com.my atau hubungi 03 -9543 3838.

Di bawah, Astro Gempak kongsikan senarai drama dan program menarik di TARA HD yang dibawakan khas dari India dan Pakistan:

Antara program menarik yang pasti menarik perhatian penonton adalah beberapa judul drama seperti ‘Chakravarthi Ashok Samrat’, ‘Nagin’, ‘Yeh Hai Mohobattein’, ‘Ishqbaaaz’ dan ‘CID’; selain drama bersiri seperti ‘Yudh’ yang dibintangi Amitabh Bachchan.

Selain itu juga antara program menarik lain yang boleh disaksikan menerusi saluran baharu ini adalah rancangan bual bicara popular seperti ‘Koffee with Karan’ dan ‘The Kapil Sharma Show’ selain beberapa rancangan variasi yang lain seperti ‘Bolly Stars’, ‘Bolly Dance’, dan ‘Comedy Nights Bachaq’.

Kesemua program yang disiarkan di saluran TARA HD juga turut disertakan dengan sarikata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Untuk keterangan lanjut mengenai TARA HD, sila layari http://www.bollyonehd.com/bollywoodnews.


Teks Oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir






Artikel Berkaitan


Komen