Peserta Super Spontan Superstar 2017, Amy Mastura akui sudah mula berasa risau dan gementar untuk membuat persembahan Jumaat ini.

“Secara jujurnya saya memang rasa kurang yakin dengan diri saya, rasa gementar bila memikirkan persembahan yang akan dilakukan nanti.

“Bukan apa, saya jenia yang ‘blur’ dan perkara yang menjadi kerisauan utama adalah jika saya lambat tangkap atau mahir dengan permainan yang diberikan.

“Ini merupakan kali pertama saya sertai program seperti ini, jadi harapnya saya boleh lakukan yang terbaik,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Amy lagi, dia menyifatkan para peserta yang terlibat dalam program tersebut hebat belaka.

“Permainan yang spontan memang memerlukan minda yang cergas, mereka juga perlu cepat ‘pick up’ dengan keadaan sekeliling yang berlaku.

“Kata-kata yang diberikan oleh pihak lawan juga perlu dibalas dengan cepat dan secara spontan, sebab itu saya sangat kagum dengan para peserta program ini,” ujarnya.

Amy telah menyertai kumpulan King Musang yang dianggotai oleh Shuib Sepahtu (ketua kumpulan), Shuk SYJ, Atu Zero, Fad Bocey, Kamal Adli, Fikry dan Zulin Aziz.

Manakala kumpulan Tenggiling Taiko yang diketuai oleh Achey Bochey dianggotai oleh Rahim, Sharif Zero, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Daniel, Sharifah Shahira dan Ozlynn.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Mya Amri