Penghibur antarabangsa, Madonna, 58, sanggup berhijrah ke Lisbon, Portugal demi memenuhi impian anak angkatnya, David Banda yang mahu menjadi seorang pemain bola sepak.

David yang kini berusia 11 tahun telah menyertai akademi bola sepak junior Benfica di Portugal sejak Jun lalu.

David merupakan anak angkat yang diambil Madonna dari Malawi, Afrika.


Baru-baru ini menerusi laman Instagram miliknya, Madonna berkongsi gambar menunjukkan suasana di bahagian dapur rumah barunya sekaligus mengumumkan penghijrahannya itu.

Madonna juga dikatakan membawa seluruh ahli keluarga termasuklah anaknya Rocco yang selama ini tinggal bersama bekas suaminya, Guy Ritchie di London.

Namun, puteri sulungnya, Lourdes memilih untuk menetap di New York.
Walaupun tidak lagi menetap di Amerika Syarikat namun Ratu Pop ini tidak meninggalkan karier nyanyiannya.

Malah Madonna mengakui dia banyak mendapat idea dan ilham mengenai muzik sejak berpindah ke tempat tinggal baru.

Dia juga bakal memulakan pembikinan filem terbaharu, Loved dan menghasilkan sebuah buku.

"Energi Portugal membuatkan saya sangat terinspirasi. Saya berasa sangat kreatif sejak menetap di sini dan berharap dapat menghasilkan filem Loved dan juga muzik baru.
"Sudah tiba saatnya untuk saya menakluk dunia dari sudut pandangan yang berbeza dan ini akan menjadi bab terbaharu dalam buku saya," kata Madonna.

Sumber: DailyMail