Penyanyi Akim Ahmad mengakui tidak dapat menyertai program nyanyian, AF Megastar kerana sedang fokus kepada promosi lagu terbaharu kumpulan Akim & The Majistret, Lagu Untuk Laila.

Menurut Akim, ini merupakan waktu sesuai untuk mempromosikan lagu terbarunya kerana sebelum ini perancangan itu tergendala disebabkan jadualnya yang padat.

"Saya sekarang tengah fokus kepada Akim & The Majistret kerana kami masih menyiapkan lagu baharu dan lakukan promosi bersama-sama.

"Jika saya menyertai AF Megastar mungkin perkara itu akan menyukarkan untuk kami bergerak melakukan promosi.

"Sepatutnya kami telah lakukan promosi pada awal tahun namun terpaksa ditangguhkan kerana saya terikat dengan satu program selama dua bulan.

"Jadi sekarang merupakan masa yang sesuai untuk kami lakukan promosi dan saya berharap agar peminat dapat memberi sokongan kepada single terbaharu ini," katanya kepada Astro Gempak.

Konsert AF Megastar Homecoming pada minggu hadapan bakal menentukan 12 bintang yang akan terpilih dan mara ke konsert AF Megastar seterusnya.

Semua keputusan bakal diadili sepenuhnya oleh dua orang juri tetap dan seorang juri jemputan.

AF Megastar yang dikemudi oleh Dato' Aznil Hj Nawawi itu akan disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan www.afmegastar.com.my jam 9malam, setiap hari Ahad.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi