Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan dan kumpulan Ungu akui tidak sabar untuk bertemu peminat di Malaysia.

Afgan berkata dia sedang membuat persiapan dan begitu teruja untuk beraksi sekali di hadapan peminat di negara ini.

“Malaysia sudah seperti rumah kedua, walaupun saya sudah kerap membuat persembahan di sini namun saya tetap berasa teruja.

“Saya juga berbesar hati kerana dapat mengadakan persembahan bersama Ungu iaitu kumpulan yang sangat saya kagumi.

“Saya akan berikan persembahan terbaik dan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong saya,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Afgan dan Ungu ditemui pada majlis sidang media Konsert Terunggul Afgan & Ungu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Terunggul Afgan & Ungu yang dibawakan oleh Popcorn Studio ini akan diadakan pada 6 Oktober depan bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Tiket konsert dijual dengan harga bermula pada RM130 sehingga RM350 dan boleh didapati di laman sesawang www.ticketpro.com.my.