Juri tetap AF Megastar, Dato' Ramli MS menegaskan komen yang diberikan kepada 12 bintang di Konsert AF Megastar Homecoming malam tadi tidak semestinya mempengaruhi markah yang diberikan.
Ramli MS berkata semua markah yang diberikan mengikut standard setiap bintang tanpa prejudis.
"Saya melihat apa yang mereka raih di luar dan apa kerja keras mereka lakukan setelah mungkin lebih sepuluh tahun meninggalkan AF.
"Apa yang mereka persembahkan malam ini harus memperlihatkan apa yang mereka dah kumpul selama keluar dari AF.
"Jangan ingat suara tinggi tapi mereka fikir nyanyian mereka sudah bagus.
"Tapi tak semestinya saya komen tak bagus bermakna markah mereka rendah, saya nilai dari banyak segi dan perkara," katanya kepada Astro Gempak.
Ramli ditemui selepas selesai Konsert AF Megastar Homecoming yang bersiaran secara langsung di Royale Theater Shah Alam, malam tadi.
Bintang-bintang yang telah beraksi adalah Zahid AF2, Ara AF2016, Bob AF2, Firman AF2014, Idayu AF3, Ewal AF2014, Amir Jahari AF9, Adam AF2, Mila AF3, Azhar AF2014, Marsha AF4 dan Sufi AF2015.
Mengulas mengenai 12 bintang yang berentap pada malam tersebut, Ramli akui terdapat beberapa nama yang menunjukkan persembahan yang terbaik.
"Saya kagum dengan Amir Jahari dia kembali dengan lagu yang melambangkan imej sebenarnya, pada saya ia satu bentuk seni yang patut dicontohi.
"Sementara Bob pula saya tahu dia bagus tapi saya tertanya-tanya mengapa dia memilih lagu (Bukan Cinta Biasa) yang amat senang untuknya bawa. Dia bagus tapi dia simpan.
"Idayu bagus, penyampaian vokal yang mantap dan dia hebat apabila dapat mempedulikan penonton yang bersorak serta meneruskan nyanyiannya dengan sangat profesional," katanya lagi.
Pada minggu hadapan bakal menyaksikan 12 bintang yang lain beraksi di Konsert AF Megastar Homecoming.
Konsert AF Megastar Homecoming pada minggu hadapan sekaligus bakal menentukan 12 bintang yang akan terpilih dan mara ke konsert AF Megastar seterusnya.
Semua keputusan bakal diadili seratus peratus oleh dua orang juri tetap iaitu Ramli dan Syafinaz Selamat dan seorang juri jemputan pada minggu tersebut
AF Megastar dikemudi Dato' Aznil Hj Nawawi itu akan disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan www.afmegastar.com.my jam 9malam, setiap hari Ahad.
Teks oleh: Syafiqah Jalal