Pelawak dan penyampai radio, Shuib memberitahu dia masih lagi bersama kumpulan Sepahtu walaupun mengendalikan program Konti Karat secara solo.

Shuib ketika ditemui berkata, tidak ada isu dia bergerak secara solo untuk program tersebut kerana anggota kumpulan Sepahtu fleksibel untuk menjalankan kerjaya masing-masing.

“Sebenarnya anggota lain tidak ada masalah jika salah seorang daripada kami mempunyai projek. Contohnya, sebelum ini Rahim menyertai Maharaja Lawak Mega bersama Joras sementara saya dan Jep tidak.

“Walaupun begitu, saya dan Jep tetap menyokong dan menjadi tulang belakang Rahim. Sama juga dengan Konti Karat. Sahabat-sahabat saya sentiasa memberikan galakan,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Shuib tidak menafikan berasa kekok pada peringkat awal tanpa kehadiran Rahim dan Jep.

“Mula-mula memang kekok tetapi saya harap peminat dan penonton Konti Karat dapat memberi peluang kepada saya.

“Selama ini bersama Jep dan Rahim, saya bertindak sebagai feeder dan mereka akan ‘menyambut’ apa yang saya ‘beri’. Kali ini kedua-dua peranan itu saya jalankan seorang diri.

“Tetapi bagi saya, inilah cabaran yang perlu saya hadapi jika mahu mengembangkan karier saya dalam bidang ini pula,” ujarnya.

Tambahnya, dia tidak akan mempersiakan kepercayaan yang diberikan oleh pihak produksi dan akan memberikan yang terbaik.

Mula bersiaran pada 22 September ini, Konti Karat bakal menampilkan beberapa selebriti terkenal sebagai artis jemputan setiap minggu seperti Siti Sarah, Siti Nordiana, Zamani, Ameng, Hazama, Mawi, Zarul, Ayai Ilusi dan ramai lagi.

Program ini bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam di saluran Astro Prima saluran 105 dan Maya HD saluran 135.