Penyanyi hip hop SonaOne menerima kritikan sesetengah pihak yang menganggap dia tidak layak menyanyi atau rap menggunakan lirik bahasa Melayu.

Namun, SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee, 28, menegaskan dia masih dalam proses mempelajari bahasa Melayu memandangkan dia dibesarkan di Perancis dan berkomunikasi selama 18 tahun dalam bahasa tersebut.

"Memang saya akui bahasa Melayu saya belum fasih dan lancar sepenuhnya tetapi saya sedang belajar. Bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya jadi berilah saya peluang.

"Lagipun, ini cara saya rap dan mungkin tidak ada penyanyi rap di Malaysia yang ada gaya seperti saya.

"Oleh itu apabila menyanyi pun sebutan bahasa Melayu saya tidak sebaik bahasa Inggeris kerana saya baru belajar bercakap bahasa Melayu sejak berusia 18 tahun.

"Tetapi saya akan terus belajar dan tidak akan sesekali berputus asa untuk menyanyi dalam bahasa ibunda saya, bahasa Melayu," ujarnya bersemangat ketika ditemui pada program temuduga terbuka Skim Latihan 1Malaysia peringkat zon selatan di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

SonaOne mengulas susulan kritikan segelintir pendengar yang kurang selesa dengan kepetahan penyanyi itu menyanyi dalam beberapa buah lagu berbahasa Melayu termasuk yang terbaharu, Kau Chentaku duet bersama Zizan Razak.

"Lagu itu sebenarnya sudah lama saya cipta bersama Zizan, rasanya sekitar tahun lepas.

"Namun beberapa bulan lalu selepas kami berjumpa semula dalam sebuah acara baru teringatkan lagu itu.

"Jadi, kami masuk semula studio untuk merakamkan semula lagu Kau Chentaku itu," katanya.

Sejak dimuat naik di Youtube pada 18 Mei lalu, lirik video lagu itu sudah ditonton lebih 1.8 juta pengguna.



Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Glam