Aktor drama bersiri Tuan Anas Mikael, Aaron Aziz bakal membawa keluarganya untuk mengerjakan ibadah Umrah sebagai persiapan sebelum menunaikan ibadah Haji.

Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz dan isterinya, Diyana Halik serta anak-anak mereka iaitu Danish Anaqi, 11, Dwi Ariana, 9, dan Dahlia Arissa, 5, bakal berangkat ke sana pada November ini.

“Insya-Allah, kami bakal ke sana bulan hadapan. Umrah yang saya bakal kerjakan ini merupakan Umrah ketiga buat saya dan Umrah yang pertama buat anak-anak.

“Mengikut perancangan, saya membawa keluarga mengerjakan ibadah Umrah sebagai persiapan sebelum menunaikan ibadah Haji,” kata Aaron kepada Astro Gempak.

Aktor yang kini sibuk di set penggambaran drama bersiri Isteri Tuan Ihsan ini turut memohon doa semua peminat agar perjalanan mereka sekeluarga menunaikan Umrah dipermudahkan.

“Saya teruja untuk membawa anak-anak mengerjakan ibadah di sana. Sebelum ini saya ke Mekah tanpa kehadiran anak-anak

“Saya memohon doa semua pihak agar perjalanan kami sekeluarga ke Tanah Suci Mekah berjalan dengan lancar dan selamat, Insya-Allah,” kata Aaron ketika ditemui di acara Lacoste Leather Good Customization Event di Pavilion pada Khamis.

Dalam acara itu, jenama Lacoste mengundang seorang craftsman profesional yang diterbangkan dari Perancis untuk meberikan sentuhan tersendiri terhadap barangan kulit jenama tersebut.

Selain Aaron, acara tersebut turut dihadiri oleh Aeril Zafrel, Hisyam Hamid bersama bintang Ola Bola, JC Chee, Luqman Hafidz dan Saran Kumar.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru, Aaron kini sedang berada di set penggambaran drama bersiri Isteri Tuan Ihsan yang bakal bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD. Menerusi drama bersiri tersebut, Aaron bergandingan bersama Amyra Rosli, Harris Baba, Livonia Ricky dan ramai lagi.

Teks Oleh: Kamaruddin Razal