Pelakon Lisa Surihani dan Sazzy Falak telah dipilih untuk menjayakan sebuah acara amal oleh syarikat pembrokeran wang tempatan, Harlow’s & MGI (HMGI) Sdn. Bhd.

Selain Lisa dan Sazzy, empat lagi selebriti yang turut dipilih adalah Amber Chia, Hannah Tan, Hunny Madu serta Samantha Katie.

Inisiatif tersebut diketengahkan oleh HMGI untuk membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.

Enam selebriti tersebut telah dihadiahkan wang sumbangan sebanyak RM20,000 oleh HMGI untuk disumbangkan kepada badan kebajikan pilihan mereka.

Badan kebajikan yang dipilih adalah Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Lisa Surihani), Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (Sazzy Falak), Breast Cancer Welfare Association (Amber Chia), Pertubuhan Pertolongan Wanita (Hannah Tan), Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia - Mercy Malaysia (Hunny Madu) dan Kiwanis Down Syndrome (Samantha Katie).

Menurut Pengarah Eksekutif Harlow’s & MGI Sdn. Bhd. Mohd. Hatim Abdullah, aktiviti amal bersama selebriti telah diadakan oleh syarikatnya sejak tahun lalu.

"Tahun lalu, kami telah memilih Altimet, Sazzy Falak, Hunny Madu, Fizo Omar, Amber Chia dan Carey Ng untuk menjayakan acara amal ini.

"Kami percaya, kuasa populariti yang ada pada selebriti dapat menarik perhatian para pelanggan kami untuk turut sama menghulurkan bantuan kepada setiap badan kebajikan yang dipilih oleh mereka.

"Saya juga berharap agar usaha mulia ini dapat diteruskan di masa akan datang dan membabitkan ramai selebriti," katanya.

Dalam pada itu, Lisa Surihani meluahkan rasa berbesar hati dan teruja kerana berpeluang menyertai acara amal berkenaan.

"Sebaik sahaja ditawarkan, saya rasa begitu berbesar hati dan tertarik untuk sertai acara ini.

"Selain beramal, bagi saya ini merupakan salah satu peluang yang bagus untuk kita membantu mereka yang lebih memerlukan.

"Saya memilih Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia kerana mereka lebih dekat dengan saya.

"Saya harap dengan sumbangan ini dapatlah membantu meringankan beban untuk kegunaan harian dan juga menyediakan pelbagai kemudahan kepada penghidap autisme," kata Lisa yang juga merupakan duta Dana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Kanak-Kanak (UNICEF) Malaysia