Pengacara dan penyampai radio Fizi Ali mendedahkan ingin menamatkan zaman bujangnya bersama pelakon Shakilla Khoriri hujung tahun ini.

Pasangan itu telah mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu selepas empat tahun menjalinka hubungan cinta.

"Seboleh-bolehnya saya mahu melangsungkan perkahwinan secepat mungkin namun atas beberapa sebab, tarikh pernikahan masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan.

"Kami rancang mahu berkahwin pada hujung tahun ini, bak kata orang tak elok bertunang lama-lama. Tapi kene tengok kemampuan juga," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Musclemen Spa, Shah Alam baru-baru ini.

Fizi atau nama sebenarnya Muhd Hafizudin Alimudin, 28, menambah ada beberapa pihak mahu menaja majlis perkahwinannya termasuk lokasi acara.

"Disebabkan masih belum ada tarikh, kami tidak boleh berbincang secara lanjut mengenai lokasi dan perkara-perkara lain.

"Setakat ini, persiapan untuk hari bahagia kami berjalan lancar.

"Sebagai seorang lelaki, saya juga menggalas tanggungjawab besar dan sedang memperbaiki diri dengan menambah ilmu agama," katanya.

Teks oleh: Amri Hassan