Atlet renang seirama, Gan Hua Wei menerima imbuhan khas daripada syarikat telekomunikasi terkenal Huawei.

Selain Hua Wei, atlet Lee Yhing Huey turut menerima tajaan telefon pintar jenis Nova 2 Plus edisi terbaharu.

Perkara itu diumumkan melalui media sosial pengurus pemasaran Huawei Malaysia, Carmen Yong siang tadi.

"Kami ucapkan tahniah kepada kedua-dua atlet renang seirama Lee Yhing Huey dan Gan Hua Wei atas kecemerlangan mereka dalam Sukan Sea," tulisnya di Facebook.

Gandingan Hua Wei dan Yhing Huey menyumbangkan pingat emas dalam acara duet rutin bebas renang seirama yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil 17 Ogos lalu.


Selepas kemenangan mereka, netizen mula mengaitkan nama atlet itu dengan syarikat telekomunikasi Huawei memandangkan persamaan nama.

"Mesti pengguna setia Huawei. Apapun tahniah, kami berbangga dengan kalian berdua," tulis @AhmadSyvfiq.

"Harap-harap syarikat Huawei Malaysia bagi insentif pada dia," tulis @izzattazamm.




Akhirnya, kata-kata netizen menjadi realiti! Tahniah diucapkan kepada kedua-dua atlet renang seirama Malaysia.



Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: FB Carmen Yong