Pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam hari ini membuat laporan polis terhadap seorang individu yang memuat naik sedutan filem Abang Long Fadil 2 (ALF 2) tanpa kebenaran.

Laporan tersebut di buat beliau di Balai Polis Taman Melawati, ditemani Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar selaku penerbit bersama filem tersebut.

Semalam, seorang individu telah memuat naik sedutan filem ALF 2 berdurasi 30 saat di laman sosial Instagramnya.

Datuk Yusof ketika ditemui berkata, beliau kesal perkara seperti ini berlaku kerana masih ada individu yang berani melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu.

"Mungkin 30 saat itu kita nampak kecil, tapi sebenarnya ia memberi impak besar kepada pembikin filem.

"Tujuan laporan polis dilakukan untuk memberi peringatan supaya tidak berlaku lagi perkara seumpama ini.

"Dan kali ini pihak saya dan Astro tidak akan berkompromi lagi, jika terdapat lagi perkara seperti ini kita akan ambil tindakan tegas dan saman," katanya ketika ditemui Astro Gempak sebentar tadi.

Selain itu, beliau turut memohon masyarakat di luar sana supaya menghormati karya orang-orang seni.

"Janganlah kita sesuka hati memuat naik karya orang kerana itu akan menjejaskan kutipan dan respon orang di pawagam," tegasnya.



Sementara itu di pihak Astro Shaw Najwa memberitahu, siasatan sedang dijalankan terhadap individu terbabit.

"Siasatan masih dijalankan oleh pihak berkenaan dan saya rasa biar mereka jalankan tugas mereka terlebih dahulu.

"Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya yang menyedari tentang kebocoran filem tersebut semalam.

Abang Long Fadil 2 dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok, A. Galak dan ramai lagi.

Filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw ini bakal ditayangkan di pawagam bermula esok, 24 Ogos 2017.