Pelawak Shuib Sepahtu akui dirinya kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram selepas tamatnya penggambaran filem Abang Long Fadil 2.

Penggambaran yang berlangsung sekitar penghujung tahun 2015 itu menuntut Shuib untuk menggalas watak sebagai seorang anggota polis bernama Inspektor Shuib.

"Sebelum menjayakan filem tersebut, badan saya berada dalam keadaan yang baik dan nampak 'fit', sesuai untuk watak Inspektor yang saya galas dalam Abang Long Fadil 2.

"Sepanjang filem tersebut, saya berusaha untuk mengekalkan kondisi badan. Tamat sahaja penggambaran, saya turun sebanyak 10 kilogram. Bermula 65 kilogram, berat saya jadi 55 kilogram selepas tamat penggambaran.

"Berat badan saya terus turun mendadak. Hal tersebut terjadi kerana saya sangat sibuk dan terlibat dengan pelbagai acara. Banyak kerja saya lakukan dalam satu masa," kata Shuib.

Mengenang memori ketika menjalani penggambaran Abang Long Fadil 2, Shuib melakukan lebih tiga kerja dalam satu masa.

"Waktu pagi saya dipenuhi dengan tugas di konti Sinar FM. Khamis dan Jumaat pula saya ada komitmen dengan pertandingan Juara Parodi. Saya juga harus mengendalikan perniagaan saya.

"Apa yang paling saya ingat, 20 November 2015 juga menyaksikan isteri saya, Siti Sarah melahirkan anak ketiga kami, Ariq Matin. Saya bekejaran berulang alik dari set penggambaran, melawat dan menjaga Sarah di hospital dan pada masa yang sama ada komitmen dengan Juara Parodi.

"Waktu itu, saya berdoa yang saya sempat melawat dan berada di sisi Sarah ketika dia mahu melahirkan. Alhamdulillah, selesai sahaja penggambaran di Klang yang menuntut masa panjang, saya bergegas ke hospital di Ampang dan sempat menemani Sarah untuk melahirkan Ariq Matin," katanya lagi.

Jangan lupa saksikan Abang Long Fadil 2 yang dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok, A. Galak dan ramai lagi.

Filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 24 Ogos 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal