Bekas pengacara HLive! Shenthy Feliziana akui dia mengambil kelas lakonan bersama pelakon Fauziah Nawi untuk mendalami wataknya sebagai Fara menerusi drama mini bersiri Do[s]a.

Kata Shenthy, dia memerlukan kelas intensif tersebut kerana watak yang digalas agak berat selain mahu meningkatkan mutu lakonan.

“Sebaik sahaja dapat tahu betapa beratnya watak Fara, saya sampai ragu-ragu dengan diri sama ada saya boleh menjayakannya atau pun tidak.

“Saya percaya, watak ini tidak akan berjaya tanpa adanya sokongan atau bimbingan daripada orang yang berpengalaman.

“Sebagai inisiatif, saya sendiri ambil kelas berlakon bersama ibu Fauziah Nawi, jujur saya katakan bila dapat sahaja skrip perkara pertama saya fikir adalah kelas lakonan.

“Lagipun saya dah lama tak berlakon dan memang latihan ini yang saya perlukan. Dalam seminggu juga latihan intensif saya bersama ibu Fauziah dijalankan.

“Bukan apa, saya tidak mahu hanya sekadar memasuki set tanpa persediaan rapi, kalau boleh saya mahu lakonan saya itu berkesan dan tidak mahu mengecewakan pengarah serta penonton nanti,” katanya kepada Astro Gempak.

Shenthy berkata demikian ketika Shenthy ditemui Astro Gempak selepas sidang media drama mini bersiri berjudul Do[s]a, di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Selain Shenthy, pelakon yang turut membintangi drama mini siri Do[s]a ialah Datuk M.Nasir, Remy Ishak, Ashraf Sinclair, Hisyam Hamid, Reuben Elishama, dan ramai lagi.

Do[s]a diarahkan pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Citra Award, Indonesia, Ifa Isfansyah dan bakal menemui penonton Disember depan.

Teks oleh: Mya Amri