Penyanyi Didi Astillah mengakui dirinya menangis hampir setiap malam kerana bersedih mengenangkan ujian yang menimpa kakaknya, Bella Astillah.

"Saya sendiri menangis dan tak cukup tidur hampir setiap malam apabila isu yang menimpa kakak saya hangat diperkatakan. Saya sendiri bersama dengan Bella pada waktu tersebut.

"Tipu jika saya katakan saya tidak rasa apa-apa. Sebagai adik kepada Bella, sudah semestinya saya merasakan kesakitan yang ditempuhi oleh Bella.

"Kini, semuanya sudah selesai dan saya berharap agar semua belajar dari kesilapan masing-masing," kata Didi kepada Astro Gempak.

Tidak memberikan sebarang respon atau mengeluarkan kenyataan sepanjang kontroversi itu hangat diperkatakan, Bella mahu menjadi seorang yang profesional.

"Saya tak mahu memberikan komen lanjut dan tak mahu menuding jari salah sesiapa. Memang saya masih muda, saya baru berusia 20 tahun tetapi jika saya masuk campur urusan Bella dan Aliff Aziz, saya rasa saya akan jadi orang yang tak bersikap profesional.

"Sebab itu saya enggan mengeluarkan kenyataan sepanjang kontroversi berlangsung. Kalau boleh, saya enggan mengeluarkan sebarang kenyataan, lebih baik saya berdiam sahaja," kata bekas peserta Idola Kecil musim pertama ini.

Dalam perkembangan terbaru, Didi yang pernah muncul dengan single Percaya dan Fikirkan Kamu ini bakal muncul dengan sebuah lagu baru.

"Saya masih aktif menyanyi tetapi saya turut membahagikan masa juga antara bidang nyanyian dengan bidang lakonan dan menjadi seorang 'social media influencer'.

"Sepatutnya, single baru saya bakal dikeluarkan dalam masa terdekat tetapi saya terpaksa menangguhkannya kerana saya terlibat dalam penggambaran sebuah drama bersiri dengan RTM.

"Kini, penggambaran sudah selesai dan saya akan kembali fokus dalam proses penghasilan single terbaru yang berjudul Teka Teki ciptaan Audi Mok," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran aplikasi Gempak di The Bee, Publika semalam.

Platform digital hiburan nombor satu Malaysia, Gempak memperkenalkan wajah baharu dan melancarkan aplikasi Gempak yang boleh dimuat turun secara percuma.

Menerusi aplikasi Gempak, pelbagai kandungan eksklusif, video menarik, berita hiburan dan informasi terkini, tips dan tutorial, gaya hidup dan siri televisyen tempatan dan luar negara boleh diakses dengan lebih pantas.