Platform digital hiburan nombor satu Malaysia, Gempak hari ini memperkenalkan wajah baharu dan melancarkan aplikasi Gempak yang boleh dimuat turun secara percuma.

Menerusi aplikasi Gempak, pelbagai kandungan eksklusif, video menarik, berita hiburan dan informasi terkini, tips dan tutorial, gaya hidup dan siri televisyen tempatan dan luar negara boleh diakses dengan lebih pantas.

Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Gempak, Raja Jastina Arshad berkata aplikasi Gempak tampil lebih unik dengan suntikan elemen lokal yang ringkas dan relevan untuk setiap pengguna.

"Memahami kehendak audiens Malaynnials untuk sentiasa berhubung menerusi alat peranti mudah alih yang pelbagai, kami melancarkan aplikasi Gempak untuk memperhebatkan penglibatan kami dengan komuniti muda," katanya pada majlis pelancaran aplikasi Gempak di The Bee, Publika siang tadi.

Gempak merupakan perkhidmatan hiburan Melayu yang diperkenalkan pada tahun 2012 dan telah meraih lebih 55 juta pengunjung.

Daripada tontonan digital pula, Gempak berjaya mencatatkan sebanyak 1.1 bilion tontonan secara kumulatif dengan statistik terkini dari bulan Januari hingga Julai 2017 dicatatkan sebanyak 264 juta tontonan.

Menerusi aplikasi Gempak, pengguna boleh menjadi sebahagian dari kelab peminat dan berpeluang menikmati pelbagai ganjaran hebat, barangan eksklusif dan aktiviti menarik.

Gempak turut melancarkan musim terbaharu The House yang menampilkan Fattah Amin dan Alvin Chong.

Selain Gempak, Astro memiliki 21 jenama digital ikonik seperti portal Astro Awani, Rojak Daily, Xuan, In Trend, Astro Ulagam dan banyak lagi.

Aplikasi Gempak boleh dimuat turun di Google Play Store (Android) dan Apple App Store (iPhone) secara percuma!

Jadi, teruskan layari www.gempak.com untuk mendapatkan perkembangan terkini dunia hiburan tanah air.



Teks oleh: Amri Hassan