Kumpulan Caliph Buskers tidak berniat untuk menghina orang kelainan upaya penglihatan menerusi lagu terbaru mereka yang berjudul 'Buta'.

Kumpulan yang dianggotai oleh lima ahli yang juga mempunyai kelainan upaya penglihatan ini bergandingan bersama penyanyi Faizal Tahir dalam lagu tersebut dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia.

"Pada awalnya kami risau jika ada antara golongan kami yang terasa dengan kami kerana lagu terbaru kami bertajuk 'Buta'.

"Kami memang tak kisah dengan panggilan tersebut kerana kami sudah biasa dan sering bercampur dengan masyarakat di luar sana.

"Mungkin kawan-kawan kami yang tidak biasa bercampur dengan orang normal akan terasa. Kami tidak berniat mahu menghina orang buta.

"Apa yang mahu diceritakan menerusi lagu ini ialah kami mahu semua bersyukur dengan kejadian yang telah diberikan Tuhan. Kami juga ada mesej yang mahu disampaikan," kata Azmi mewakili Caliph Buskers.

Tambah Azmi, sebelum orang ramai menilai, lagu ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong ini harus dihayati dengan mendalam agar mesej yang mahu disampaikan dapat menusuk ke dalam hati pendengar.

"Kami mahu semua pihak mendengar lagu ini terlebih dahulu sebelum menilai. Lendengar seharusnya menghayati dan memahami bait-bait lirik yang terkandung lagu kami.

"Buta yang dimaksudkan sebalik lagu bukannya buta mata seperti orang kelainan upaya penglihatan, tetapi buta hati," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal