Bersempena dengan segmen terbaru Cerita Pendek Gempak, minggu ini Astro Gempak membawakan #GempakCerpen nukilan daripada Lokman Hakim khas buat tatapan pembaca.

Menerusi segmen ini, pembaca akan disajikan dengan karya-karya penulis yang menarik.

Untuk minggu ini, kami paparkan cerpen berjudul Menyintai Topeng dan Fasa-Fasanya.

Selamat Membaca!


***********************************************************************************

Dia tidak pernah menyangka suatu hari nanti hatinya akan terpaut pada sebuah topeng yang molek hasil tangannya. Putih bersih, memiliki raut wajah wanita imaginasinya. Bukanlah dia punya kecenderungan nafsu songsang pula pada topeng itu – hanya bentuknya menyejukkan hatinya. Maka disimpannya topeng itu untuk ditatap sebelum kantuk menjenguknya setiap malam.

Tiada siapa mempersoalkan kecintaannya pada topeng itu kerana dia tidak pernah menayangkannya untuk tontonan umum. Bagaimana harus dinyatakan perasaan itu ya, tatkala khalayak umum gemar benar melontar tohmahan daripada menjulang pujian yang mendamaikan semangat. Fikirnya, biarlah cintanya pada topeng itu hanya diketahuinya seorang. Semestinya topeng itu juga mengerti, kerana cinta manusia itu unik. Mengalir bak air, meletakkan jiwa pada objek hinggakan berkesan pada kewujudan sesuatu itu.

Dengan beredarnya masa, bersilih ganti putar jarum pada muka jam, memudarlah keindahan topeng itu. Sungguhpun begitu, dia belajar untuk menjaga keberadaan topeng itu agar kekal utuh. Dibelinya cecair penggilap, dikesatnya daki dan debu yang menempel tiap hari tanpa gagal. Setiap kali kerja-kerja pembersihan itu selesai, dia akan berbual-bual dengan topeng itu, dengan harapan jiwanya kekal sebati dengan topeng itu.

Dituliskan pergerakan cintanya itu di dalam buku nota yang diusung saban hari. Diari yang sentiasa penuh tercatat tiap lembarannya. Emosinya meluap-luap, banyak yang hendak diceritakan tetapi tidak diluah. Bagaimana pula hendak diluah perasaannya pada topeng itu yang nyata sekali tidak akan mampu membalasnya?

Hari pertama, cinta adalah pautan jiwa pada rupa luaran. Naluri manusia itu, bukankah berkehendakkan sesuatu yang menyenangkan hatinya? Tidak mustahil jika hendak dikatakan, pemula detik cinta itu sebenarnya tidak lebih dari sebuah kunci di mana seperti semua sedia maklum; sifat kunci itu untuk memastikan pintu itu terus tertutup atau boleh diselak buka.

Bagi lelaki itu, kunci cinta yang dipulasnya tidak sama sekali bermaksud tutup, bahkan rosak pula tombol pintu itu dan terkopak daunnya. Tiada hijab sama sekali. Cintanya pada topeng itu mengalir tanpa dinding dan pintu menghalangya. Sampai begitu sekali.

Itulah fasa pertamanya.

Fasa kedua, tatkala topeng mula merekah, kebimbangan mula menular dalam hatinya. Pada waktu itulah juga dia melihat begitu banyak sekali topeng-topeng baru yang jauh lebih cantik. Tersentuhlah nafsunya untuk memiliki kesemua topeng-topeng itu. Walaupun begitu, dia tidak lupa akan asal-usul keinginannya pada topeng terdahulu.

Topeng putih yang reput dalam simpanannya itulah satu-satunya yang mampu dimiliki ketika dia tidak mempunyai wang. Biarpun ditemui di tepi jalan, itulah satu-satunya harta berharga baginya. Atas sebab itu, dia menyedari dia harus menjaga topeng itu sehabis mungkin.

Begitulah cinta tadi, yang berlandaskan pada rasa tenang melihat sesuatu yang molek kini bertukar menjadi rasa tanggungjawab yang harus dipertahankan. Itulah waktunya konflik mula berlaku.

Topeng itu pecah.

“Tolong, saya perlukan gam paling utuh.”

Dari kedai ke kedai, diusungnya serpihan topeng itu, yang juga hilang sedikit cebis-cebisnya akibat jatuh ke jalan raya lalu dilanggar kereta. Seingatnya, usaha mengutip cebisan topeng itulah yang membuatkannya dihon dan dicerca pengguna kenderaan yang lain. Jika hendak difikirkan logiknya, benarlah dia seorang gila. Untuk apa dipertahankan topeng itu? Bukankah topeng hanya sekadar objek?

Topeng itu sudah hancur, tiada jalan untuknya kembali pulih kepada asal. Mengapa harus dipertahankan lagi, sedangkan terdapat ribuan topeng yang jauh lebih cantik daripada topeng itu?

Masing-masing tidak mahu menolong, atau sebenarnya mereka sedar, topeng murah sebegitu tidak sewajarnya dipertahankan. Talkinkan sahaja atau campak ke dalam sungai! Tapi tiada siapa yang tergamak mengatakan hal itu pada lelaki itu, kerana pada matanya ada cinta yang begitu mendalam.

Mengatakan sesuatu yang menyakitkan hati itu dikhuatiri akan memudaratkan. Semakin lama, orang ramai menafsirnya selaku kegilaan dan bukan lagi cinta.

Biarlah dunia menganggapnya gila, asalkan dia dapat memulihkan topeng itu. Akhirnya dia mendapatkan gam paling kuat tanpa memberitahu tujuannya. Topeng yang berkecaian itu disorok sahaja dan diratapi tatkala tiada orang melihat.

Disusunnya keping demi keping, habuk demi habuk lalu ditekapkan topeng yang hancur itu pada bingkai kayu yang kemas rangkanya. Ditampalnya sedikit demi sedikit, sehinggalah bentuk topeng itu pulih seperti asal. Meskipun begitu, tidaklah topeng itu kembali cantik seperti sebelumnya. Garis-garis cantuman mencacatkan imejnya. Ketika itulah lelaki itu mula mempersoalkan cintanya pada topeng itu. Adakah dia harus membeli baru sahaja atau menyintai topeng itu setulus hatinya?

Gemulah menyelubungi jiwa. Untuk menenangkan hatinya, dia mengambil angin setiap pagi dan senja sambil memikirkan pilihan yang ada. Hatinya berbelah bagi. Tidak sanggup rasanya dia membeli topeng baru. Sehinggalah dia tiba di pinggiran tasik, memerhatikan bayangan mentari di permukaan air yang tenang.

Dia memerhatikan jua bayangan wajahnya yang sudah dimakan usia. Kedut-kedut memenuhi ruang. Kulitnya menggelebeh. Matanya sudah kuyu. Maka apakah bezanya dengan topengnya yang sudah retak itu? Dia sendiri sudah dijamah usia. Ditafsirkan pula situasi itu selaku satu perubahan yang wajar ditempuhi setiap makhluk. Usia akan menjamah kecantikan fizikal.

Menyedari hal ini, dia mula belajar menyintai topeng itu kembali. Tiap malam ditatapnya topeng itu dengan cermin di hadapannya. Dibandingkan wajahnya dengan topeng itu, tidak jauh beza rasanya. Betapa usia memamah rupa, tetapi tidak keindahan cinta. Biarpun definisinya berubah-ubah mengikut keadaan.

Kali ini cintanya pada topeng itu berasaskan kesedaran. Tanggungjawab dan juga usaha. Tidak lagi bersangkutan pada keinginan melihat sesuatu yang molek tiap pagi pada pandangan mata.

Suatu malam, guntur begitu galak. Berdentuman dengan kilat menyergah. Bekalan elektrik terputus maka terpaksalah lilin digunakan. Menyala-nyala apinya. Lelaki itu dan topengnya disirami cahaya berbalam-balam. Senyap sunyi. Ada kesunyian pada wajah tuanya itu yang tidak dapat diubati melalui penatapan bertahun-tahun ke atas topeng retak.

Ada sesuatu yang diingininya dan tidak dapat dipenuhi oleh topeng tersebut.

Ditatapnya lagi topeng itu yang begitu kusam. Diraba-rabanya permukaan topeng itu hingga retaknya mula merekah. Kepingan demi kepingan mula gugur. Air matanya mula tumpah. Perasaannya bercampur baur.

“Tiada yang kekal di dunia ini.”

“Cinta pada topeng? Karut. Itu semua kebendaan.”

“Apalah makna cinta tanpa kenal erti perpisahan. Belajarlah makna menyintai daripada perpisahan.”

Itulah detiknya dia menyedari, dengan dentum guruh, dengan topeng hancur dan juga lilin yang sudah tiba di penghujungnya itu, bahawasanya dia harus belajar definisi baru untuk cinta yang didukungnya saban hari.

Fasa ketiga, bersendirian.

Keesokannya, topeng itu dibalut kemas-kemas lalu ditanam di belakang rumah. Apalah bezanya kehidupan seharian tanpa topeng itu bukan? Dia cuba bermuhasabah. Rutinnya mula berubah.

Jika malamnya, dia sepatutnya menatap topeng itu, dan menghargai bentuknya. Kini dia hanya mampu merenung siling sehingga kantuk memejamkan kerdipan matanya. Paginya yang sepatutnya digunakan untuk membersihkan topeng tersebut kini digantikan dengan sesi mengemas rumah. Pasu disiram dan kadangkala digantikan dengan bunga baru. Minatnya pada topeng mula melebur tetapi tidak hilang sepenuhnya.

Ada memori silam yang menghalangnya daripada membeli topeng baru. Dia berfikir dia harus cuba menyintai manusia juga. Banyak dipelajarinya daripada topeng itu. Dari proses mengagumi, melindungi hingga mengenangi, semuanya telah dilalui dan kenapa tidak dicurahkan sahaja rasa itu pada seorang wanita tulen?


Maka diikhtiarkan juga sehingga ketemu seorang wanita yang juga sepertinya, baru kehilangan topeng sebegitu. Mereka mula berkongsi pengalaman masing-masing.Pertemuan itu bermula di sebuah kedai yang menjual topeng. Dia teringat lagi bagaimana mereka sama-sama menatap topeng demi topeng untuk dibeli. Ada keberatan jiwa di situ. Seolah-olah mengerti mereka berada dalam kancah permasalahan yang serupa, mereka keluar dari kedai topeng itu dan berdiri terpacak di luar kedai, kebingungan.

“Tak ada topeng yang bagus ya?”

“Bukan. Semuanya cantik-cantik tetapi itulah topeng yang satu dulu itu penuh nostalgia.”

“Nostalgia ya? Samalah cerita kita. Lihat ni.”

Dia mengeluarkan serpihan topengnya yang sempat diselamatkan. Diletak dalam kotak kedap udara. Agar tidak terganggu dengan pereputan. Dianggapnya serpihan berbentuk bulan sabit itu selaku memoir. Wanita itu melongo sebelum mengeluarkan serpihan yang lebih kurang sama daripada beg yang digalasnya.

“Nampaknya kita berkongsi kisah yang serupa. Erm, nak minum kopi atau teh? Nanti saya belanja.”

Sejak hari itu mereka sering meluangkan masa bersama-sama, bercerita mengenai pengalaman mereka menyimpan topeng peribadi sebegitu lama.

Sementara itu, di luar kafe kelihatan beberapa orang pejalan kaki mengenakan topeng masing-masing tanpa mempedulikan orang-orang di sekitar mereka. Jika dilihat sekali imbas, pejalan-pejalan kaki itu membentuk satu hamparan yang berombak putih. Begitu ramai dan tiada perbezaan antara tiap seorangnya. Tidaklah bermakna topeng itu suatu kemestian. Ada sahaja orang yang tidak mengenakan topeng mereka.

Cuma ia kini merupakan suatu gaya hidup baru.

Dan gaya itu bukanlah sesuatu yang dipercayai pasangan tersebut. Mereka terlalu tua untuk itu.

“Topeng ini, bukanlah untuk dipakai begitu. Mereka terlalu literal.”

“Bukanlah. Kita dulu beli topeng untuk disimpan. Nak letak di muka pun tak muat.”

“Topeng dulu kecil-kecil belaka.”

“Simbolik selaku pelindung jiwa dari kepalsuan.”

“Eh, tak pernah dengar pula idea begitu.”

Lelaki itu tersenyum. Fasa demi fasa yang dilalui untuk menyintai topeng telah mengajarnya banyak perkara. Begitulah tafsirannya ketika memegang topeng yang langsung tidak sesuai ditekap pada muka itu.

“Zaman kita dulu, semua benda dicerita tak bertapis. Saya dahulu suka berterus-terang dalam menyelesaikan permasalahan. Ada yang tidak kena, saya tegur. Jika ada yang tidak suka dengan kehendak saya, saya jauhkan diri. Mudah hidup begitu.

Saya tak terikat dengan keperluan untuk berpura-pura kerana saya percaya topeng saya dahulu dah lakukan semua itu untuk saya. Topeng saya bertindak selaku benteng dari niat pembohongan.”

Wanita itu menopang dagunya sebelum meneguk teh hijau yang masih berbaki separuh. Suasana di luar kafe agak berkabus. Rambut putihnya luruh menutup wajah lalu dikemaskan agar tidak menghalang pandangan.

“Jauh beza dengan saya. Topeng saya pula mengajar saya untuk sentiasa berwaspada. Saya tak boleh berterus-terang biarpun dengan orang yang saya kenal. Dulu, ramai penipu. Kadang-kadang kita sangka kawan tak tipu kita, tapi bila terdesak, kena tikam dari belakang pula.

Topeng ini mengajar saya untuk sentiasa memakai topeng tertentu apabila berdepan dengan orang.”

Kata-kata wanita itu menyedarkan lelaki itu akan sesuatu. Berat pula hendak dituturkan. Mereka baru sahaja berkenalan di sebuah kedai topeng. Rasanya soalan itu terlalu peribadi sifatnya. Namun dia sudah dilatih untuk menyuarakan apa yang terbuku di hatinya.

“Kalau begitu, adakah awak masih memakai topeng apabila berdepan dengan saya?”

Tergelak wanita itu mendengarnya. Hampir-hampir tersedak air teh hijau.

“Kita dah terlalu tua untuk itu.”

“Oh ya, betul juga.”

Topeng, biarpun sudah tidak lagi menjadi milik mereka berdua, masih punya signifikan dalam hidup mereka. Mereka berdua belajar untuk menjadi topeng yang melindungi peribadi masing-masing daripada dicerobohi orang yang tidak diingini.