Selebriti serba boleh Datuk AC Mizal kembali membintangi filem selepas menyepi hampir 10 tahun.

AC bakal muncul dalam filem Abang Long Fadil 2 yang akan memulakan tayangan di pawagam pada 24 Ogos ini.

“Hampir 10 tahun saya tidak membintangi sebarang filem dan menumpukan fokus terhadap karier saya sebagai pengacara. Saya juga sudah lama tidak membintangi filem terbitan Skop Production.

“Semua orang tahu yang nama saya sangat sinonim dengan Skop Production dan sering berlakon di bawah arahan mereka, terutamanya dalam siri Gerak Khas.

“Alhamdulillah, menerusi Abang Long Fadil 2, saya kembali menyemarakkan industri perfileman. Jika dahulu saya berlakon di bawah arahan bapa, Datuk Yusof Haslam, kini saya berlakon pula di bawah arahan anak, Syafiq Yusof,” kata AC.

Tambah AC, filem ini berjaya mengubati kerinduannya untuk beraksi dalam dunia lakonan setelah sibuk dengan bidang pengacaraan dan nyanyian.

“Rindu saya untuk berlakon filem terubat. Peminat juga sering bertanya, bilakah saya akan berlakon filem.

“Saya berharap peminat dapat menyokong dan menonton filem ini di pawagam nanti. Anak-anak saya juga tidak sabar untuk menonton naskah ini di pawagam kelak,” katanya lagi.

Selain AC, Abang Long Fadil 2 dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok, A. Galak dan ramai lagi.

Filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 24 Ogos 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal