Dalam banyak-banyak atlet yang bertanding di Temasya Sukan Sea ke-29 2017 (KL2017), penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman antara yang mencuri perhatian.

Sepanjang persiapan menjelang acara sukan terbesar Asia Tenggara itu, Amsyar, 24, sering berkongsi gambar dan berinteraksi dengan peminatnya di Instagram.

Namun, selain memuat naik gambar-gambar pemandangan dan rutin harian, Amsyar akan dihujani dengan likes dan pelbagai komen netizen apabila mengemaskini gambarnya tidak berbaju dan menayangkan abdomen badan.

Selain pujian dan inspirasi daripada sosok badannya yang sudah berotot itu, ada antara netizen juga meninggalkan komen-komen nakal dan geram dengan bentuk fizikal Amsyar sekarang.

"Hai bun-bun... Aduh sapu butter dengan kaya sedap ni. Hahaha," tulis @noniethearchyhis di ruang komen foto Instagram Amsyar ketika berada di Guangzhou, China awal bulan ini.

Untuk rekod, Amsyar pernah memenangi pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal segerak dalam Sukan Asia Tenggara di Naypyidaw, Myanmar pada tahun 2013 dan di Singapura pada 2015.

Sempena Sukan Sea 2017, acara terjun akan berlangsung pada 26 hingga 30 Ogos di Pusat Akuatik Nasional, KL Sports City, Bukit Jalil dan sebanyak 13 medal dipertaruhkan untuk acara itu.

Ayuh sama-sama kita menyokong perjuangan atlet negara untuk Sukan Sea 2017. Bangkit Bersama!










Teks oleh: Amri Hassan
Foto kredit: IG @amsyaroo