Selamat pengantin baru Tunku Puteri Johor, YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim dan pasangan, Dennis Muhammad Abdullah.

Pernikahan pasangan mempelai telah berlangsung pada pagi semalam (14 Ogos) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor.

Manakala, Istiadat Persandingan DiRaja pula berlangsung di Bilik Singgahsana, Istana Besar Johor Bahru pada sebelah malam.

Pasangan pengantin tiba di perkarangan istana menaiki kereta vintaj Mercedes Limousine Covertible sambil diiringi pengiring bermotosikal Polis DiRaja Malaysia dan anggota Askar Timbalan Setia Negeri.

Tunku Tun Aminah menyarung busana baju kurung Johor rona putih sedondon dengan Dennis yang berbaju Melayu Teluk Belanga lengkap bersongkok dan samping.





KDYMM Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah memulakan Istiadat Merenjis dan Tepung Tawar Pengantin DiRaja Johor, Tunku Tun Aminah dan Dennis Abdullah.

Ia diikuti dengan isterinya, KYDMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah dan KDYMM Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar; DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah; dan ibu bapa Dennis Muhammad, Martin dan Henriette Verbaas.






Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teoh Chee Hean dan isteri.




Kira-kira 1,200 tetamu menghadiri Istiadat Persandingan yang disaksikan oleh kerabat diraja, orang kenamaan, dan ditonton oleh rakyat jelata menerusi dua skrin gergasi di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bharu.






Sumber: Johor Royal Press Office & Johor Souther Tigers