Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin kembali menyertai skuad ekuestrian negara dalam acara kuda lasak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo mengesahkan perkara tersebut kepada pihak media.

Menurut Low, MOM telah menerima surat daripada Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) yang memaklumkan perkara berkenaan hari ini.

Katanya, pihak persatuan memberitahu seorang daripada atlet dalam skuad kuda lasak mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menarik diri.

"Pihak persatuan memaklumkan bahawa penggantian perlu dibuat dan hanya ada seorang lagi atlet iaitu Sultan Mizan," kata Low.

Sultan Mizan sebelum ini dilaporkan menarik diri daripada temasya itu kerana kudanya kurang cergas untuk bertanding dalam acara kuda lasak di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong pada 20 Ogos ini.

Sultan Mizan adalah antara empat ekuestrian terbaik negara yang berada dalam ranking Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI). Baginda pernah menyertai Kejohanan Endurance Dunia di Lembah Bidong pada 2008.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, ketika ditemui pemberita pada satu majlis di Petaling Jaya, yakin keputusan baginda itu akan menambah semangat dan kekuatan pasukan kuda lasak atau endurance negara.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad ekuestrian Malaysia ialah pada edisi 2001 dengan mengutip lima pingat emas dalam acara kuda lasak individu, individu dan berpasukan showjumping serta individu dan berpasukan dressage.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, skuad negara meraih tiga emas iaitu dua dalam acara individu dan berpasukan kuda lasak 80km, dan satu emas dalam acara dressage individu.

Sumber: Bernama