Penyanyi Elizabeth Tan mendedahkan dia sebenarnya tidak pernah mempunyai minat dalam bidang nyanyian.

Elizabeth Tan atau mesra dengan panggilan Lizzy, 23, berkata selama ini dia menyanyi hanya sekadar suka-suka dan tidak mensia-siakan peluang yang muncul di depan mata.

"Sebenarnya dari dulu lagi saya tidak pernah suka menyanyi dan tidak bermimpi untuk jadi seorang penyanyi kerana dari kecil, cita-cita saya mahu jadi pelakon.

"Sebenarnya ia bermula selepas saya menyanyi dan merakamkannya secara suka-suka dan memuat naiknya di laman YouTube dan tidak sangka ia mendapat perhatian.

"Jadi, peluang dan tawaran nyanyian yang datang dulu dan saya sekadar memanfaatkan peluang yang ada tetapi tidak berhasrat untuk serius menyanyi.

"Bayangkan, setiap kali naik ke pentas saya merasakan tiada jiwa dan saya memang tiada karisma seperti penyanyi lain apabila mengadakan persembahan.

"Namun saya tidak pernah menyesal menjadi penyanyi kerana menceburi bidang nyanyian telah menjadi batu loncatan untuk saya turut berada dalam industri lakonan," katanya kepada Astro Gempak.

Lizzy baru sahaja melancarkan single berjudul Darling yang merupakan sepenuhnya ciptaanya.

Penyanyi lagu Knock Knock itu beritahu selepas ini dia akan memperlahankan karier nyanyiannya dan akan berada lebih di belakang tabir.

"Meksipun tidak suka menyanyi tetapi saya seronok menulis, menggubah lagu dan merakamkan lagu di studio cuma saya tidak suka mengadakan persembahan pentas.

"Jadi saya akan terus menyanyi, buat lagu tetapi mungkin tidak seaktif seperti mana di awal kemunculan saya sebelum ini," katanya lagi.

Baru sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri My Darling Inspektor Daniel, Lizzy memberitahu dia akan lebih menumpukan kerjaya seninya dalam bidang lakonan selepas ini.

"Tahun ini saya terima banyak tawaran berlakon dan saya sudah kurang mengambil tawaran membuat persembahan pentas.

"Saya seronok belakon kerana ia seperti terapi diri.

"Kalau dalam lakonan, saya banyak mendapat inspirasi dan belajar daripada lakonan aktres Korea kegemaran saya, Jun Ji Hyun.

"Ada juga beberapa tawaran lakonan lain yang datang tetapi saya masih belum putuskan dan ini permulaan baik untuk saya," katanya.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Maya dalam My Darling Inspektor Daniel, Lizzy memberitahu ia mempunyai sedikit persamaan dengan dirinya.

"Maya karakternya sedikit sebanyak sama seperti saya tapi saya tidaklah segedik itu.

"Pengalaman berlakon dalam drama itu memang menyeronokkan dan banyak yang saya belajar untuk memperbaiki mutu lakonan.

My Darling Inspektor Daniel ditayangkan di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap hari Isnin hingga Khamis.


Teks oleh: Syafiqah Jalal