Anggota kumpulan lawak Bochey, Achey menonjolkan sisi serius dalam filem Abang Long Fadil 2.

Beraksi dalam filem arahan Syafiq Yusof, Achey membawakan watak seorang jurukamera bernama Ali.

"Menerusi filem ini, saya jadi tak kelakar dan menyimpan lawak saya. Pengarah mengawal setiap gerak geri saya agar aksi komedi tidak terkeluar dalam babak yang cuba dilakonkan.

"Saya memegang watak Ali, jurukamera stesen televisyen yang bertugas dengan wartawan bernama Yana yang dilakonkan oleh Tania Hudson.

"Saya teruja untuk membawakan watak serius sebegini dan perkara tersebut menampilkan sisi berbeza lakonan saya," kata Achey kepada Astro Gempak.

Bersyukur kerana diberi peluang untuk berlakon dibawah produksi Skop Production dan Astro Shaw, Achey sudah bersedia untuk menerima tawaran lakonan lain pula selepas ini.

"Saya rasa gembira kerana mendapat peluang untuk berlakon filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw. Mereka mempunyai profil yang baik dalam dunia perfileman. Perkara tersebut semestinya menjadi impian untuk setiap selebriti di Malaysia.

"Selepas mencuba watak serius dalam filem ini, saya juga bersedia untuk membawa watak-watak lain yang tidak hanya tertakluk dalam kategori komedia. Sebagai seorang anak seni, perkara itu menjadi cabaran buat saya dan saya harus melaksanakannya sehabis baik," katanya lagi.

Selain Achey dan Tania, Abang Long Fadil 2 dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, A. Galak dan ramai lagi.

Filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 24 Ogos 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal