Pelakon filem Ola Bola, Luqman Hafidz mempunyai perancangan untuk memasuki kelas lakonan bagi mempertingkatkan ilmu sebagai seorang aktor.

Tidak mempunyai pendidikan formal dalam seni persembahan, Luqman mahu mengumpul lebih banyak pengetahuan mengenai dunia lakonan.

“Sebagai pelakon baru dan seorang yang tidak mempunyai asas dalam lakonan, saya ada perancangan untuk mendaftarkan diri bagi menghadiri kelas lakonan.

“Saya ada menghubungi pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Wakil FINAS juga memberikan respon positif.

“Menurut wakil FINAS, bengkel lakonan bakal diadakan kelak dan akan diberitahu dari semasa ke semasa. Pastinya saya akan menyertai bengkel tersebut jika berkesempatan,” kata Luqman kepada Astro Gempak.

Bersyukur kerana filem Ola Bola memberikan impak positif terhadap kerjaya lakonannya, jadual Luqman padat sehingga hujung tahun ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana filem tersebut membawa tuah dan rezeki buat saya. Bermula dari filem tersebut, tawaran dalam bidang lakonan datang dan belum putus sehingga hujung tahun ini.

“Saya gembira dan semakin menyesuaikan diri dalam bidang lakonan. Saya berharap agar saya dapat memberikan yang terbaik sebagai seorang aktor,” katanya ketika ditemui di acara Lacoste Leather Good Customization Event di Pavilion baru-baru ini.

Dalam acara itu, Lacoste mengundang seorang craftsman profesional yang diterbangkan dari Perancis untuk meberikan sentuhan tersendiri terhadap barangan kulit jenama tersebut.

Selain Luqman, acara tersebut turut dihadiri oleh bintang Ola Bola, JC Chee dan Saran Kumar serta tiga lagi selebriti terkenal lain iaitu Aaron Aziz, Aeril Zafrel dan Hisyam Hamid.

Dalam perkembangan terbaru, Luqman bakal membintangi drama bersiri terbaru, Sayang Papa Saya Tak? yang bakal disiarkan di Astro Ria dan Astro Ria HD.

Selain Luqman, drama bersiri tersebut turut dilakonkan oleh Hisyam Hamid, Emma Maembong, Sweet Farhana dan ramai lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal