Isteri kepada Hafiz Hamidun, Joy Revfa berang apabila difitnah menjadi punca kepada keretakan rumah tangganya.

Ia bermula selepas Joy Revfa menulis kapsyen di dalam satu entri di Instagram (IG):

"Saya mahu lebih fokus melindungi & menjaga amanah Allah swt ini @ArryanFirdaus . Doakan kami berdua.. #alhamdulillah #hikmahterindah"

Menerusi entri tersebut pengusaha kosmetik itu telah memuat naik gambar bersama anaknya.

Entri tersebut mendapat perhatian pengikut laman sosial tersebut apabila ramai yang memberi kata-kata semangat terhadapnya.

Tidak kurang juga yang turut menulis komen seolah-olah menuduh Joy menjadi punca kepada keruntuhan rumah tangganya dan Hafiz.

Joy tidak mendiamkan diri sebaliknya terus membalas komen berikut:

"Ada bukti saya melawan kata-katanya? Jangan fitnah sesuka hati ya..."

Terdahulu, beberapa media dalam talian melaporkan mengenai kedudukan rumah tangga Hafiz apabila pasangannya, Joy memberi bayangan mengenai masalah rumah tangga mereka menerusi kapsyen yang ditulis di laman Instagram miliknya.

Kedua-dua pasangan berkenaan juga dikatakan tidak lagi berkongsi gambar-gambar mereka di laman sosial masing-masing.

Hafiz bagaimanapun memberitahu akan membuat kenyataan rasmi mengenai spekulasi keruntuhan rumah tangganya.

Pasangan ini diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam dekat sini pada 1 Mei lalu dengan sekali lafaz.