Bekas atlit bina badan negara, Datuk Malek Noor akui masih lagi aktif ke pusat kecergasan dan menjaga pemakanan untuk kekal sihat.

Kata Datuk Malek Noor, dia juga mengamalkan pengambilan vitamin tambahan seperti vitamin C untuk mengekalkan kecergasan di usia 63 tahun.

“Kalau nak tahu saya tidak mempunyai apa-apa rahsia tertentu cuma saya hanya amalkan makan banyak sayur-sayuran.

“Yang kedua, saya mengambil vitamin tambahan seperti Omega 3, Vitamin E, B-Complex untuk tenaga dan juga vitamin C.

“Selain itu saya juga masih lagi aktif bermain golf dan ke pusat kecergasan. Bukan apa, saya mahu menjaga stamina supaya tidak cepat letih ketika melakukan aktiviti harian,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai kesihatannya, Malek Noor memberitahu penyakit darah tinggi dan kencing manisnya berada dalam keadaan terkawal.

“Tipulah kalau kata saya tak ada penyakit, umur 63 tahun penyakit yang ada adalah penyakit tipikal yang dihidapi oleh mereka yang berusia seperti saya.

“Alhamdulillah, penyakit darah tinggi dan kencing manis saya berada dalam keadaan terkawal,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Malek Noor merupakan pengulas program Temasya Sukan Ke Laut bersama pelawak, Abam Bocey.

Temasya Sukan Ke Laut bersiaran setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi platform Astro GO dan On Demand.


BACA: JADI HOS DENGAN ABAM MEMANG KELAKAR, BALIK RUMAH PUN RASA NAK GELAK - DATUK MALEK NOOR

Teks oleh: Mya Amri