Pelakon baru Afifah Nasir memohon maaf kepada isteri Aliff Aziz, Bella Astillah kerana memberi peluang kepada aktor tersebut untuk memegang tangannya.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya kepada Bella kerana memberikan peluang untuk suaminya memegang tangan saya di sebuah pusat karaoke.

"Dalam kejadian itu, dia memegang tangan saya dan saya mengakui kesalahan saya sebab membenarkannya.

"Saya akui itu salah saya dan bagi saya, Bella tidak bersalah dalam hal ini kerana saya memahami keadaan dan situasi yang dilalui Bella pada ketika itu.

"Namun begitu, saya ingin mengambil kesempatan untuk menjernihkan keadaan setelah pihak sana memberikan penjelasan mereka berhubung kontroversi yang telah terjadi," kata Afifah dalam sidang media yang diadakan sebentar tadi.

Terdahulu, sidang media itu dimulakan dengan sesi memperdengarkan rakaman perbualan yang membabitkan antara Anzalna dan seorang krew produksi drama lakonan Aliff dan Afifah.

Rakaman tersebut mendedahkan keadaan sebenar yang terjadi antara Afifah dan Aliff. Bagaimanapun, rakaman perbualan tersebut hanya diperdengarkan kepada pihak media.

Afifah enggan rakaman tersebut didedahkan kepada orang ramai kerana ia melibatkan orang ketiga.

Dalam sidang media tersebut, Afifah ditemani oleh peguam, Sana Tufil Ahmad, kakaknya, aktres Mia Nasir, kekasihnya, Wan Ariff Wan Azhar dan pelakon Alana Amir.

Teks oleh: Kamaruddin Razal