Syarikat pengusaha pengangkutan awam, RAPID Rail mengesahkan dakwaan kelibat pocong yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) baru-baru ini adalah palsu.

Menurut jurucakap RAPID Rail, Lim Jin Aun berharap orang ramai tidak tertipu dengan imej tersebut.

“Imej itu telah direka oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk menakutkan penumpang.

“Saya harap isu ini tidak diperkatakan lagi untuk mengelakkan orang ramai keliru dengan cerita-cerita yang tidak benar,” ujarnya seperti yang dilapor oleh The Star.

Terdahulu, sekeping gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan kelibat objek yang didakwa pocong dilihat berselindung di sebalik tiang tempat pelanggan menunggu MRT, Cheras menjadi tular.

Perkara itu hanya disedari oleh pegawai bertugas selepas rakannya menunjukkan foto tersebut.

Pada mulanya dia agak terkejut namun menyedari foto kelibat pocong itu adalah palsu selepas melihat dengan lebih dekat.

Sumber: The Star