Penyanyi Elizabeth Tan berharap lakonannya sebagai Maya Adriana menerusi drama terbaru, My Darling Inspektor Daniel tidak mengecewakan penonton.

Menurut Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy ini, dia mahu mengembangkan bakatnya dengan menceburi bidang lakonan.

“Saya harap drama ini mendapat tempat dihati penonton dan saya anggap percubaan ini sebagai satu permulaan untuk kerjaya lakonan.

“Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pihak produksi untuk menggalas watak berkenaan sedangkan saya masih lagi belum mempunyai cukup pengalaman berlakon.

“Masa mula-mula menerima tawaran, saya terfikir juga bagaimana pihak produksi nampak bakat saya? Namun saya anggap itu semua sebagai rezeki.

“Saya harap lakonan saya sebagai Maya Adriana menjadi dan diterima peminat,” katanya yang pernah membintangi filem ‘Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium’ sebelum ini.

Tambah Lizzy lagi, untuk tahun ini dia mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap bidang lakonan.

“Saya tidak akan abaikan terus bidang nyanyian cuma saya mahu lebihkan fokus pada lakonan sebab mulai hujung tahun lalu hingga kini pintu rezeki saya lebih kepada berlakon.

“Saya anggap drama My Darling Inspektor Daniel ini merupakan platform terbaik untuk saya mengembangkan bakat dalam lakonan.

“Bagi saya ini merupakan satu pengalaman yang hebat kerana dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon senior yang banyak membantu dan mengajar saya untuk berlakon dengan lebih baik,” jelasnya kepada Astro Gempak.

Selain Lizzy, drama tersebut turut dibintangi oleh Aaron Aziz, Siti Elizad, Erra Fazira dan Dazrin.

My Darling Inspektor Daniel bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan RIA HD (saluran 123) sejak 31 Julai lalu.

Wuuu tak sabar nyaaaa drama #mydarlinginspektordaniel dah nak keluar... ini drama pertama Lizzy tau so harap2 lakonan Lizzy okay and korang pun suka ??? Jgn lupa tengok Lizzy sebagai Maya Adriana, 31st July ni di Astro Ria 104 dan Astro HD 123!!! ?? . . . . #MayaAdrianna #InspektorDaniel @mydarlinginspdanielofficial

A post shared by Elizabeth Tan (@elizabethtsm) on


Teks oleh: Mya Amri