Bekas atlit bina badan negara, Datuk Malek Noor akui terlalu seronok menggalas tugasan sebagai pengulas program Temasya Sukan Ke Laut dengan gandingan bersama pelawak, Abam Bocey.

Menurut Datuk Malek Noor, 63, dia tidak pernah mengalami sebarang masalah masalah sepanjang menjalani penggambaran bersama Abam.

“Program ini cukup sesuai dengan jiwa saya dan saya akui bekerjasama dengan Abam memang sangat menyenangkan.

“Berceloteh dengan Abam tidak perlu risaukan tentang keserasian kerana ia datang secara spontan. Dia begitu baik dengan saya dan masing-masing menghormati antara satu sama lain.

“Kesemua kru produksi yang terlibat juga sangat profesional dan jujur saya katakan bila balik rumah selepas selesai penggambaran pun saya masih rasa gembira,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai pengacaraan, Malek Noor memberitahu ulasan yang dilakukan bersama Abam dalam program tersebut kebanyakannya adalah secara spontan.

“Kalau nak tahu saya berceloteh tidak ikut skrip dan secara spontan kerana itu membuatkan saya rasa lebih selesa. Tak sangka pula terkeluar juga jiwa kelakar saya.

“Bagaimanapun perkara itu tetap ada batasannya, saya akan pastikan ulasan yang diberikan lebih berhati-hati, tidak menyentuh perasaan orang lain serta menjaga sensitiviti, itu paling penting,” jelasnya.

Temasya Sukan Ke Laut bersiaran setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi platform Astro GO dan On Demand.


Teks oleh: Mya Amri