Penyanyi Nabila Razali mendedahkan dia pernah dua kali patah hati sebelum memutuskan untuk 'berehat' daripada bercinta.

Katanya, beberapa bulan lalu dia pernah mengalami perpisahan yang teruk dengan seorang jejaka yang tidak memahami kerjayanya sebagai artis.

"Saya pernah dua kali patah hati, kali pertama ketika saya belum bergelar artis dan kali kedua beberapa bulan lalu.

"Hubungan kami bertahan cuma enam bulan saja kerana dia tidak memahami kerjaya saya. Jadi saya rasa susah untuk teruskan.

"Saya ada matlamat hidup dan kerjaya saya dan eloklah saya fokus apa yang saya mahukan.

"Mungkin pengalaman pedih itu membantu saya mendalami perasaan dalam lagu terbaru saya, Pematah Hati," ceritanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Astro Warna di Putrajaya baru-baru ini.

Nabila bagaimanapun tidak gemar mendedahkan kisah peribadi kepada khalayak namun tegasnya, dia enggan bersikap hipokrit.

"Saya go with the flow, kalau nak keluar dan mengambil gambar bersama saya buat. Tetapi bukan untuk niat menunjuk-nunjuk kepada bekas kekasih.

"Kalau saya rasa tak perlu kongsi, saya akan simpan untuk diri sendiri," tambahnya.

Bekas pelajar Akademi Fantasia 2013 itu pernah muncul dengan single Cemburu dan lagu keduanya Pematah Hati menjadi runut drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati lakonannya bersama Alif Satar.

Teks oleh: Amri Hassan