Aidilfitri biasanya diraikan bersama keluarga tercinta di kampung halaman masing-masing, namun berbeza bagi penyanyi rock Awie yang melawan arus tahun ini.

Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman, 48, memilih untuk beraya di Thailand pada 1 Syawal lalu. Apakah alasan Awie?

"Rutin raya tahun ini sedikit berbeza daripada tahun-tahun terdahulu. Memandangkan kami juga mempunyai pertalian saudara di selatan Thailand maka kami memilih untuk beraya di sana.

"Tidak sama sambutan Aidilfitri di Malaysia dan di Thailand kerana apabila memasuki hari kedua, mereka sudah memakai pakaian biasa.

"Juadah seperti lemang, rendang, ketupat dan kuih raya juga tiada," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Antarabangsa baru-baru ini.

Perancangan itu ibarat sebuah percutian spontan memandangkan jadualnya yang padat.

Awie bersama isteri, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 30, dan anak ketiganya, Putra Ahmad Merrah, 10, berkesempatan beraya di Songkhla, Yala dan Hai Yat selama empat hari sebelum menziarah saudara-mara di Perlis, Kedah dan Perak kemudiannya.

Mengimbas kembali, Awie dan Sharifah Ladyana memilih untuk melangsungkan perkahwinan di Songkhla, Thailand, pada 7 Oktober 2016.

Bintang filem Sembilu itu juga pernah mendidirikan rumah tangga dengan penyanyi Arni Nazira Anuar pada tahun 1998 dan dikurniakan dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha.

Kemudian, Awie mengahwini Rozana Misbun pada tahun 2006 dan memiliki tiga cahaya mata, Putra Ahmad Merrah, 10, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6. Bagaimanapun, mereka tidak tinggal sebumbung sejak 2014.

Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Kosmo!