Seiring dengan peredaran masa, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima (RRMP), Seelan Paul mahu menjadikan stesen radio Hot FM, KOOL FM, Fly FM dan One FM bukan sekadar didengar malah mampu ditonton dan didekati semua pendengar.

Untuk memastikan perkara tersebut, RRMP mengambil langkah ke hadapan dengan memperkenalkan pengisian tradigital dalam persembahan radio-radio di bawah pengurusannya.

Radio tradisional dan digital (tradigital) digabungkan untuk memastikan radio kekal relavan dan bergerak seiring dengan kemodenan teknologi.


Seelan 'sporting' melayan gelagat AG, Ajak dan Guibo

“Persaingan dalam bidang penyiaran radio bukan lagi fokus utama, sebaliknya kami mahu radio kami terus kekal relevan dan mendapat tempat di hati peminat.

“Sekarang ini, digital sedang berkembang pesat dan sosial media sedang ‘trending’. Kami di RRMP mahu bergerak seiring dengan kepesatan dunia teknologi tetapi tidak mengabaikan konsep tradisional radio.

“Kalau dahulu penyampai radio masuk ke konti dan bercakap tetapi hari ini dunia mereka sudah berubah. Mereka wajib memiliki akaun media sosial masing-masing dan menggunakan platform tersebut sebaiknya untuk menarik perhatian pengikut.


Ajak (Hot FM), Guibo (FLY FM) dan AG (KOOL FM) di Malimbu Sunset Point, Lombok baru-baru ini.

“Secara tidak langsung, mereka turut membawa nama stesen dan menjadikan jenama kami relevan. Selain rutin harian di konti, penyampai kami juga perlu menyediakan video sendiri untuk di muat naik di laman sosial masing-masing dan radio untuk menarik penonton.

"Kami turut memanfaatkan penggunaan aplikasi WhatsApp bagi memudahkan pendegar berinteraksi dengan penyampai-penyampai kami. Dengan menggunakan platform media sosial, adalah cara terbaik untuk menarik pendengar," ujarnya

Tambah Seelan lagi, satu juta pendengar untuk empat stesen radio RRMP menerusi streaming digital radio, dianggap peningkatan yang baik untuk melangkui jumlah pendengar di kawasan yang tidak meliputi frekuensi.

"Kami sedang dalam proses penambahbaikan dan sedang memilih kandungan yang betul-betul sesuai dengan digital dan orang nak dengar. Kami juga sedang merancang untuk menovelkan drama-drama dalam segmen Dramatik Kool,” ujarnya.

Seelan ditemui pada program #FlyHotKoolRayaLombok bersama media di Lombok, Indonesia.


Gambar kenangan bersama rombongan media

Bercakap mengenai program tersebut, Seelan berkata, program santai ini diadakan setiap tahun bagi merapatkan lagi hubungan silatulrahim dengan media selain berkongsi tentang perkembangan terbaharu di RRMP.

“Inilah peluang peluang kepada penyampai kami untuk mengenali media dengan lebih rapat dan bila sampai sini, kita tak fikir pasal kerja. Malah dapat melakukan aktiviti bersama bagi melarikan diri seketika daripada kesibukan kerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, aplikasi podcast Ais Kacang yang dilancarkan pada Mac lalu kini sudah mencecah 100,000 ke 150,000 unit pendengar sebulan dan ia dianggap sebagai perkembangan positif radio digital.

RRMP juga masih mengekalkan program-program yang mendapat perhatian pendengar seperti Panggilan Hangit, Sketcah dan Do Re Mi di Hot FM; Kelas Tambahan, Jangan Cerita di Kool FM serta Fly Teka Bersama Guibo di Fly FM.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin